Home » Maahad tahfiz diminta daftar, elak tercicir bantuan kerajaan
Berita Gagasan Rakyat Politik

Maahad tahfiz diminta daftar, elak tercicir bantuan kerajaan

PENGHARGAAN: Nizam (tengah) menerima cendera kenangan daripada Mohd Shoffian.

TAWAU: Semua maahad tahfiz di negeri ini diminta mendaftar segera dengan pihak berkuasa agama dan kerajaan negeri supaya tidak tercicir dari segi bantuan termasuk naik taraf kemudahan premis mereka.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pusat pendidikan aliran agama tidak akan terkecuali daripada perhatian oleh kerajaan di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri akan memastikan maahad tahfiz yang berdaftar mendapat bantuan sewajarnya bagi mewujudkan persekitaran kondusif untuk pelajarnya.

“Kita akan membantu maahad tahfiz di negeri ini supaya pengurusan mereka dapat menjalankan aktiviti dan kegiatan dengan lebih baik.  

“Selain itu, kita juga akan memastikan anak-anak yang mendapat lulusan sekolah aliran agama diberikan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi yang diiktiraf oleh kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Majlis Hafazan dan Tilawah al-Quran peringkat bahagian Tawau, pada Rabu di sini.

 Nizam menyampaikan sijil dan hadiah kepada juara Qari Tilawah al-Quran bahagian Tawau.
JUARA: Nizam menyampaikan sijil dan hadiah kepada juara Qari Tilawah al-Quran bahagian Tawau.

Menurutnya, kerajaan negeri komited untuk membantu melahirkan lebih ramai generasi yang celik al-Quran terutamanya di peringkat belia.

Justeru, katanya, jawatankuasa masjid yang ada di perbandaran Tawau perlu mengambil inisiatif supaya mewujudkan kelas-kelas mengaji dan menghafal al-Quran di tempat mereka.

“Pihak masjid mungkin boleh berkolaboratif dengan maahad tahfiz supaya kelas-kelas al-Quran dapat diwujudkan di setiap kampung atau taman perumahan di daerah ini.

“Kita mahu memastikan daerah Tawau tidak ketandusan wakil hafazan dan tilawah al-Quran yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Nizam memuji pengajur majlis hafazan dan tilawah al-Quran bahagian Tawau kali ini kerana berjaya melaksanakan tugas dengan baik.

“Saya berharap juara hafazan dan tilawah al-Quran bahagian Tawau ini dapat memperbaiki lagi mutu bacaan mereka supaya mendapat kedudukan yang lebih baik di peringkat negeri Sabah nanti,” katanya.

Turut hadir, ADUN Balung, Datuk Hamild Awang; Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Mohd Shoffian Mohd Said dan Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Tawau, Kahar Sundu. 

— Hamzah Sanudin