KOTA KINABALU: Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan selepas video tular yang dikaitkan dengan beliau dimuat naik di sebuah portal berita Selasa lalu.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu tiba tepat jam 9.00 pagi di pejabat SPRM, Kota Kinabalu di sini.
“Kehadiran saya ke pejabat SPRM sebagai komitmen untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi membolehkan pihak berwajib melakukan siasatan terperinci berhubung rakaman video berkenaan.
“Pegawai SPRM mengambil masa dua jam dan 30 minit untuk merekodkan keterangan saya pagi ini dan saya berpuas hati dapat memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan ini.
“Sepanjang memberikan keterangan, pegawai SPRM bersikap profesional dan dedikasi ketika melakukan siasatan,” katanya sebaik keluar dari pejabat SPRM pada jam 12.30 tengahari.
Masiung turut mengalu-alukan mana-mana pihak berwajib untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan ini dan beliau berjanji akan memberi kerjasama sepenuhnya.
Beliau memaklumkan, rakaman video berkenaan disunting dan ditokok tambah terlebih dahulu sebelum disiarkan.
“Rakaman video terbabit jelas tidak mengambarkan cerita sebenar kerana ia disunting seolah-olah cerita itu berpihak kepada individu yang membuat rakaman.
“Saya bersedia dipanggil SPRM bila-bila masa sahaja tanpa memberi alasan sakit atau sibuk dengan komitmen tugas.
“Saya juga berharap SPRM memanggil individu yang membuat rakaman itu untuk siasatan terperinci dan menyerahkan rakaman sebenar perbualan berkenaan,“ katanya.
Beliau percaya, wujud campur tangan politik melibatkan parti pembangkang yang sengaja memerangkap beberapa Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai komplot menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Menurutnya, beliau sudah menjangkakan pembangkang akan melakukan komplot kerana tergugat dengan kecemerlangan kerajaan negeri diterajui Hajiji menerusi Belanjawan Sabah 2025 diluar dugaan sebanyak RM7.421 bilion yang tidak pernah dilakukan pembangkang semasa menjadi kerajaan sebelum ini.
Masiung meminta rakyat di kawasan Kuamut yang beliau wakili agar bertenang dan tidak memberi memberi sebarang spekulasi.
— UB
Add Comment