BEAUFORT: Permuafakatan sedia ada diantara parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu terus dikekalkan demi kepentingan rakyat dan kestabilan berterusan politik, kata Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS, Datuk Dr Arifin Arif.

Mengulas lanjut, Arifin berkata, GRS berkongsi matlamat sama iaitu memastikan kemajuan wilayah dan rakyat terus diperkasa melalui pendekatan tersendiri.


“Mantapkan hubungan, kukuhkan barisan. Biar kita berbeza pandangan namun kita berkongsi matlamat sama untuk memperkasa pembangunan dan rakyat Sabah menerusi perjuangan dalam GRS.


“Yang penting kita kekalkan hubungan kasih sayang di antara kita kerana hanya GRS mampu membawa kestabilan politik sebagaimana kita nikmati pada hari ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Wanita GRS Zon 3 di Dewan Dun Banir, pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun; Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Ruslan Muharam; Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Klias, Datuk Isnin Aliasnih dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Lumadan, Mazlan Joehari Manan.


Dalam perkembangan berkaitan, Arifin yang juga Naib Presiden Gagasan Rakyat turut menyeru semua parti komponen memperbanyakkan penubuhan cawangan dan ahli masing-masing.


Pada masa sama katanya, cawangan dan ahli sedia ada juga harus diperkasa bagi memastikan GRS terus kukuh mendepani sebarang cabaran.

“Banyakkan ahli dan cawangan, manakala cawangan sedia ada diperkukuhkan dan ahli sedia ada diperkasakan lagi bagi memastikan GRS kekal utuh berdepan sebarang cabaran,” katanya.

— Kenneddy Corlleus

Previous articleDukungan menyatu, sokongan bertambah padu
Next articleAhli Gagasan Rakyat dituntut jujur, elak timbul kekeliruan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here