Home » Nizam tegaskan perjuangan GRS berpaksikan kepentingan rakyat bukan agenda peribadi
Berita GRS Politik

Nizam tegaskan perjuangan GRS berpaksikan kepentingan rakyat bukan agenda peribadi

ALBUM: Nizam (duduk tengah) bergambar bersama tetamu kehormat dan jawatankuasa Pandu Puteri Tawau.

TAWAU:Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan bahawa perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukanlah untuk menyelamatkan mana-mana pemimpin, sebaliknya untuk memastikan masa depan Sabah kekal stabil dan berdaya maju.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata perjuangan GRS lahir daripada kesedaran pemimpin-pemimpin tempatan untuk memastikan negeri ini ditadbir berdasarkan acuan sendiri ,bukan tunduk kepada kehendak politik luar.

“Sebagai individu yang turut terlibat dalam pembentukan GRS, saya boleh katakan perjuangan ini tidak pernah berasaskan kepentingan peribadi.

Kita tubuhkan GRS kerana kesedaran untuk menjaga rumah kita sendiri untuk menjaga Sabah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Rumah Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah, Daerah Tawau, hari ini.

Menurutnya, semangat “Sabah Tanah Airku” yang menjadi teras perjuangan GRS membuktikan gabungan itu bukan wadah politik sempit, tetapi platform yang memperjuangkan kepentingan rakyat di setiap daerah.

“Rakyat Sabah perlukan kepimpinan yang memahami cabaran tempatan dan tahu apa yang terbaik untuk negeri ini.

Sebab itu ramai pemimpin memilih untuk bersama GRS  kerana asas perjuangan kita jelas, iaitu membela rakyat dan masa depan Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam turut memuji usaha Persatuan Pandu Puteri Tawau yang berjaya menubuhkan bangunan sendiri hasil semangat kesukarelawanan dan komitmen tinggi ahli-ahlinya.

“Saya dimaklumkan ahli muda Pandu Puteri turut membantu mengumpul dana melalui aktiviti kemasyarakatan. Ini bukti semangat juang dan kesungguhan wanita Sabah yang wajar dicontohi,” katanya.

Beliau berharap Persatuan Pandu Puteri Tawau akan terus menjadi wadah melahirkan wanita muda berintegriti, berdisiplin dan berjiwa kepimpinan untuk menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.

— TAMAT