Kota Kinabalu : Penganjuran sambutan Nuzul Al-Quran pada tahun ini merupakan satu tanda kesyukuran buat rakyat khususnya di negeri ini selepas negara bebas dari dibelenggu pandemik COVID-19.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, ia juga dapat mengeratkan ukhuwah dikalangan masyarakat khususnya umat Islam kerana dapat mengimarahkan lagi Masjid dan Surau.
“Pada tahun ini kita telah mengumpulkan seramai 600 peserta untuk sama-sama menyemarakkan Nuzl Al-Quran di Masjid Negeri Sabah dan bukan sahaja di sini malah kita telah mengarahkan semua Masjid dan Surau di Sabah.
“Ini menandakan kita sangat bersyukur dengan keadaan yang ada pada hari ini dimana kita bebas dari COVID-19 yang sebelum ini menyukarkan untuk kita datang ke Masjid dan Surau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sabah di Masjid Negeri Sabah di sini semalam.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Ruslan berkata, pihaknya juga telah mengarahkan Masjid dan Surau di negeri ini untuk sama-sama melaksanakan penganjuran Nuzul Al-Quran.
“Memang kita melihat istimewanya penganjuran Nuzul Al-Quran pada tahun ini selepas dihalang oleh COVID-19 sebelum ini dimana kita tidak dapat solat tarawih, bertadarus selain mengadakan Nuzul Al-Quran.
“Kita harapkan pada tahun hadapan, kita akan dapat meriahkan lagi selain menyemarakkan sambutan disemua Masjid dan Surau. Sudah pasti semua berlumba-lumba untuk mendapatkan ganjaran yang sangat besar,” katanya.
— EDITOR
Add Comment