Home » Orang Sabah utama autonomi, dakwaan rasuah tak kuat jatuh Hajiji, kata penganalisis
Berita GRS Politik

Orang Sabah utama autonomi, dakwaan rasuah tak kuat jatuh Hajiji, kata penganalisis

Sebelum ini Hajiji Noor berkata beliau tiada apa untuk disembunyikan dan menegaskan tiada lesen melombong kepada mana-mana pihak di sebalik dakwaan skandal rasuah.

PETALING JAYA: Dakwaan skandal rasuah perlombongan terkait Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan beberapa Adun kerajaan belum cukup drastik mengubah landskap politik Sabah, kata penganalisis.

Namun, Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tidak menolak kestabilan politik Sabah ketika ini sedang diuji.

Katanya, berbanding skandal rasuah yang dilihat serius di peringkat nasional, Sabah pula lebih mementingkan isu seperti autonomi, pembangunan, dan kesejahteraan tempatan.

Lau Zhe Wei
Lau Zhe Wei.

“Isu utama Sabah dan termasuk Sarawak adalah mengenai isu sama ada orang tempatan memerintah atau pun orang dari Semenanjung (parti nasional), sama ada mereka mendapat autonomi dan mendapat kemajuan.

“Mungkin di Semenanjung atau di kawasan bandar atau di peringkat nasional, ia boleh dijadikan sebagai satu isu…tetapi di Sabah, saya tidak melihat ia akan menjadi satu isu yang signifikan,” katanya menyifatkan desakan Hajiji meletak jawatan belum di tahap serius.

Dalam pada itu, Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, kedudukan Hajiji sebagai ketua menteri kekal selamat jika tiada sabitan dikenakan, termasuk kepada ahli kerajaan negeri dalam dakwaan rasuah melibatkan perlombongan mineral.

Free Malaysia Today
Romzi Ationg.

“Sehingga keputusan undang-undang dikeluarkan, kedudukan Hajiji masih selamat selagi beliau mampu mengawal situasi dengan baik,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Sabah, Sufian Abd Karim, mendesak Hajiji berundur supaya siasatan kes rasuah perlombongan mineral dikaitkan beberapa Adun dapat dijalankan secara bebas dan telus.

Terdahulu, FMT memetik sumber enggan dikenali mendakwa skandal perlombongan itu ialah usaha terancang Umno menggulingkan pentadbiran Hajiji.

Namun, Umno Sabah menafikan menjadi dalang di sebalik penyebaran dakwaan rasuah dikaitkan beberapa Adun kerajaan oleh individu mendakwa dirinya pemberi maklumat, kata Ketua Penerangan Suhaimi Nasir.

Suhaimi turut mengulangi gesaan sama disuarakan ketua Pemuda Sabah dengan alasan untuk membersihkan imej kerajaan Sabah yang terpalit teruk kerana tuduhan itu membabitkan menteri penuh, pembantu menteri, dan ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Antaranya Menteri Kewangan Masidi Manjun yang juga Adun Karanaan. Namun, beliau pada Selasa lalu tampil sukarela ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu untuk memberi keterangan berkenaan video tular mengaitkannya.

Pada 20 Nov lalu, SPRM memanggil lima Adun Sabah dan bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd, Jontih Enggihon yang disyaki terbabit dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di negeri itu.

Hajiji pula berkata, beliau tiada apa untuk disembunyikan dan menegaskan tiada lesen melombong kepada mana-mana pihak di sebalik dakwaan dalam video disebarkan pemberi maklumat.

Yasmin Abdul Latif