Home » PBS tolak kerjasama BN hak mereka, GRS tetap kukuh – Nizam
Berita GRS Politik

PBS tolak kerjasama BN hak mereka, GRS tetap kukuh – Nizam

PENGHARGAAN: Nizam menyampaikan cendera kenangan kepada Ghulamhaidar.

TAWAU: Keputusan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk tidak menjalinkan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang disifatkan sebagai pendirian sendiri parti itu yang perlu dihormati.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata walaupun wujud perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), semangat kesepakatan dalam gabungan itu masih kukuh.

“Itu adalah pendirian PBS dan kita menghormatinya, namun segala keputusan berkaitan masa depan GRS pada pilihan raya kali ini akan dibincangkan secara terperinci.

“Keputusan akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri merangkap Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Apas di Dewan Masyarakat Tawau, hari ini. Turut hadir, Bendahari Gagasan Rakyat, Datuk Seri Ghulamhaidar Khan Bahadar.

Persidangan itu dihadiri lebih 3,000 perwakilan dan pemerhati dari seluruh DUN Apas, sekali gus menggambarkan sokongan padu akar umbi terhadap parti dan GRS.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, berkata persiapan jentera pilihan raya GRS berada dalam keadaan terbaik dengan semua bilik gerakan pusat daerah mengundi sudah ditubuhkan dan jawatankuasa jentera digerakkan sepenuhnya.

“Kita juga sedang melaksanakan pelbagai program akar umbi bagi mengenal pasti serta menyantuni pengundi bagi memastikan mereka keluar mengundi apabila tiba masanya,” katanya.

 Nizam bersama pemimpin GRS dan ahli Gagasan Rakyat Apas yang hadir dalam persidangan berkenaan.
SEMANGAT: Nizam bersama pemimpin GRS dan ahli Gagasan Rakyat Apas yang hadir dalam persidangan berkenaan.

Mengulas keahlian Gagasan Rakyat di DUN Apas, Nizam berkata sehingga kini, bahagian itu mempunyai lebih 11,000 ahli berdaftar dan 180 cawangan aktif, menjadikannya antara bahagian terbesar di Sabah.

“Malah, hampir 10,000 daripada ahli ini adalah pengundi berdaftar di DUN Apas dan ini satu kelebihan yang sangat besar kerana kekuatan kita terletak pada sokongan pengundi tempatan.

“Dalam masa terdekat ini, tiga lagi cawangan baharu sedang dalam proses pendaftaran, mencerminkan peningkatan sokongan masyarakat setempat terhadap Gagasan Rakyat,” katanya.

Katanya, kepercayaan rakyat terhadap Gagasan Rakyat dan kepimpinan Datuk Seri Hajiji banyak dipengaruhi kejayaan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya yang memberi impak besar kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Rakyat semakin yakin dengan hala tuju yang dibawa Ketua Menteri, dan inilah yang menjadi kekuatan utama Gagasan Rakyat dan GRS hari ini,” katanya. 

–Hamzah Sanudin