KOTA KINABALU: Sabah perlu terus ditadbir dengan penuh integriti, amanah dan bijaksana serta dibangunkan dengan perancangan yang mampan serta berpaksikan kepentingan rakyat.
Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman berkata, dengan kepimpinan yang berwibawa, disertai sokongan seluruh lapisan masyarakat, negeri ini akan terus maju dan makmur.
“Jika kita berusaha dengan gigih, Sabah mampu berdiri seiring dengan negeri-negeri lain dalam pelbagai aspek pembangunan, Insya Allah.
“Pelbagai usaha pembangunan perlu terus dipertingkatkan demi memastikan kemajuan negeri ini tidak terhenti malah terus berkembang secara lestari dan inklusif.
“Memang benar, mengekalkan kejayaan adalah jauh lebih mencabar daripada mencapainya.
“Ia memerlukan perancangan yang teliti, pelaksanaan yang berkesan serta iltizam yang berterusan daripada semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas pada Istiadat Pengnugerahan Pingat, Bintang dan Darjah Kebesaran negeri sempena Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke- 74 di Istana Seri Kinabalu pada Sabtu pagi.
Justeru itu katanya, kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat amatlah penting bagi memastikan segala pencapaian yang telah diraih dapat dipertahankan dan ditambah baik demi manfaat generasi masa kini dan akan datang.
Dalam masa yang sama katanya, semua pihak perlu menjulang integriti dalam setiap lapisan pentadbiran dan kepimpinan demi memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan sentiasa terpelihara.
Beliau juga menasihati semua pihak sentiasa bersedia dan menyesuaikan diri agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan global yang semakin mencabar.
“Untuk menghadapi semua cabaran itu dan perubahan landskap ekonomi semasa, kita memerlukan pendekatan yang progresif dan berpandangan jauh agar negeri ini terus membangun dan kekal makmur.
“Ini termasuklah penggalakan inovasi teknologi dan pembangunan modal insan yang berkualiti serta pengukuhan sektor ekonomi yang berdaya tahan.
“Semua ini menuntut sikap yang terbuka terhadap perubahan serta keazaman yang tinggi untuk terus maju,” katanya.
Musa berkata, pembentukan masyarakat yang dinamik dan berdaya saing amat penting bagi menjamin kelangsungan pembangunan negeri secara mampan.
Menurutnya, masyarakat seperti ini bukan sahaja berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan global, malah menjadi pemangkin utama kepada kemajuan dalam bidang ekonomi, sosial dan teknologi serta mampu menyumbang secara efektif kepada pembangunan negeri, dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
Dalam pada itu katanya, walaupun rakyat Sabah terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan namun mereka dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni.
“Saya ingin menekankan betapa pentingnya kita terus menjaga perpaduan dalam kalangan rakyat, kerana ia merupakan asas kekuatan dan keharmonian yang menjadi tunjang kepada keamanan serta kemajuan negeri.
“Saya menyeru agar setiap rakyat tidak kira bangsa, agama atau latar belakang sentiasa mengutamakan sikap hormat-menghormati dan saling berkerjasama bagi menghadapi pelbagai cabaran demi kepentingan bersama.
“Marilah kita semua memupuk semangat muafakat dan menjaga keharmonian agar dapat mewariskan sebuah negeri yang aman, makmur dan berdaya saing kepada generasi akan datang,” katanya.
— TAMAT
Add Comment