Home » Pembekuan elaun: ‘Kecualikan doktor l-bandar Sabah’
Berita GRS Politik

Pembekuan elaun: ‘Kecualikan doktor l-bandar Sabah’

JAMES melawat reruai selepas merasmikan kolokium itu.

Kota Kinabalu: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Exco Kesihatan Sabah, Datuk James Ratib mencadangkan elaun doktor di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada dipegun atau dibekukan.

James berkata, saranan itu akan disampaikan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam mesyuarat yang akan diadakan hari ini (Khamis).

“Ada beberapa perkara yang kita akan ajukan kepada Menteri Kesihatan, termasuklah elaun doktor yang bertugas di luar bandar telah dipegun.

“Jadi saya minta di Sabah dan Sarawak ini supaya dikecualikan memandangkan di negeri ini, kita masih kekurangan doktor yang bertugas di luar bandar.

“Sekiranya elaun mereka masih dipegunkan, saya rasa ramai doktor ini tidak mahu menyambung kontrak mereka dengan kerajaan sekali gus memberi kesan kepadaSabah,” katanya selepas merasmikan Kolokium Kesihatan Awam kali ke-17 Tahun 2025 di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan Sabah juga masih berhadapan dengan isu kemudahan asas yang kurang memuaskan, khususnya di kawasan luar bandar.

“Kita masih kekurangan dari segi fasiliti di luar bandar yang perlu dinaik taraf, seperti capaian WiFi, bekalan air bersih dan elektrik. 

“Sekarang bila dipegunkan ia tidak adil kepada doktor-doktor di luar bandar. Doktor di bandar tidak dinaikkan elaun begitu juga di luar bandar, tetapi kemudahan lebih baik bagi mereka yang berkhidmat di bandar berbanding di luar bandar yang serba kekurangan.

“Jadi saya mohon kepada Menteri supaya perkara ini dapat diberi perhatian dan dipertimbangkan sewajarnya,” katanya.

Untuk rekod, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Maria Suleiman memaklumkan Sabah ketika ini mempunyai seramai 2,981 doktor dan pakar berstatus lantikan tetap manakala 1,072 lagi adalah berstatus kontrak.

Dalam pada itu, James turut mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya membuat penambahbaikan berhubung kawalan penggunaan rokok elektronik di negeri ini.

“Kita kena kawal, kadang-kadang ada yang dicampur dengan bahan terlarang, jadi kita akan cadangkan bagaimana untuk membuat penambahbaikan dari sudut KKM,” katanya.

Mengenai perkembangan usaha menaik taraf klinik kesihatan, beliau memaklumkan sekitar 30 lagi klinik kayu yang ada di negeri ini akan ditukar kepada bangunan konkrit.

“Dalam tempoh dua setengah tahun saya memegang jawatan ini, banyak perkara telah kita laksanakan. Klinik kesihatan daif yang masih belum diganti kini hanya tinggal sekitar 30 buah dan ia dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.

“Jadi ini adalah satu perkembangan yang baik untuk Sabah, kita telah menyiapkan sekitar 100 klinik kesihatan daif, kita tukar daripada kayu kepada konkrit,” katanya.

James turut berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) kini dalam usaha untuk mendapatkan mesin pengimbas Tomografi Pancaran Positron (PET) bagi tujuan membantu rawatan kanser.

“Saya perjuangkan mesin pengimbas PET ini sejak dua tahun lalu. Buat masa ini dalam masih dalam proses tender dan dijangka akan selesai pada tahun ini. 

“Mesin ini yang pertama ada di Sabah untuk mengesan dan memantau kanser. Sebelum ini pesakit terpaksa ke Sarawak untuk menggunakan mesin ini yang memakan kos sehingga RM3,000 sekali gus membebankan rakyat.

“Mesin ini akan diletakkan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) sebagai usaha untuk mengawal atau merawat lebih awal penyakit kanser di negeri ini,” katanya.

–Nora Ahmad/DE