Home » Pemuda Gagasan Rakyat Tungku perkukuh jentera hadapi PRN17
Berita Gagasan Rakyat Politik

Pemuda Gagasan Rakyat Tungku perkukuh jentera hadapi PRN17

SEMANGAT: Mohd Ar Razee bersama Abdul Hakim bergambar bersama ahli Pemuda Tungku dalam Majlis berkenaan.

LAHAD DATU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tungku digesa terus memperkukuh kesepaduan dan pelan gerak kerja dalam usaha memastikan kesiapsiagaan jentera menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Tungku, Mohd Ar Razee Abdulham berkata, golongan muda perlu memainkan peranan lebih strategik bagi menghadapi cabaran politik semasa.

Katanya, Pemuda perlu mantapkan kekuatan dalaman, eratkan perpaduan serta perkemas strategi agar gerak kerja lebih tersusun dan berkesan.

“Kita kini sudah berada dalam keadaan bersiap-siaga dan telah menjalankan pelbagai inisiatif termasuk turun padang ke kampung-kampung serta menyantuni masyarakat menerusi aktiviti kemasyarakatan.

“Pendekatan mendekati rakyat, khususnya pengundi muda dilakukan secara konsisten kerana kita percaya kepada politik khidmat dan bukan retorik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Tungku, di sini. Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan.

Menurutnya, Pemuda Gagasan Rakyat juga perlu memperkukuh strategi komunikasi bagi menyampaikan mesej perjuangan parti secara jelas dan berfakta.

Selain itu, katanya, Pemuda harus melaksanakan pendekatan lebih inklusif bagi memastikan tiada pihak yang terpinggir.

“Kita mahu semua golongan, termasuk generasi muda, merasakan kehadiran dan peranan Gagasan Rakyat sebagai parti yang benar-benar komited membela rakyat Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh ahli Pemuda agar terus berpegang kepada prinsip perjuangan dan tidak leka menghadapi gelombang politik yang semakin mencabar.

“Kemenangan dalam pilihan raya bukan sekadar untuk berkuasa, tetapi merupakan satu amanah besar.

“Kita bekerja bukan semata-mata untuk menang, tetapi kerana kita percaya rakyat berhak mendapat pemimpin yang konsisten dan benar-benar membela nasib mereka,” katanya. 

–Hamzah Sanudin