Home » Pemuda GRS Bongawan pertikai dakwaan UMNO Kimanis, desak isu projek strategik dijelaskan
Berita GRS Politik

Pemuda GRS Bongawan pertikai dakwaan UMNO Kimanis, desak isu projek strategik dijelaskan

AK Jamaludin Pg Yassin ketika mengulas isu kelewatan pelaksanaan projek strategik di Kimanis, sambil menegaskan kepentingan kesinambungan pembangunan berasaskan rekod dan hasil kerja nyata.

BONGAWAN: Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegur tindakan UMNO Kimanis yang cuba mengaitkan calon GRS, Tan Sri Anifah Aman, dalam isu kelewatan pelaksanaan projek strategik di kawasan itu, sambil menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada kegagalan menunaikan janji pilihan raya.

Ketua Pemuda GRS, AK Jamaludin Pg Yassin berkata projek Mini Stadium Kimanis dan Kolej Komuniti Kimanis yang dipersoalkan itu diluluskan ketika Anifah Aman menjadi Ahli Parlimen Kimanis, dan sewajarnya kesinambungan projek berkenaan diteruskan oleh penyandang selepas itu.

Beliau berkata Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin sendiri menjadikan kedua-dua projek itu sebagai antara janji manifesto ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis dan memperoleh mandat rakyat atas komitmen berkenaan.

“Persoalannya, mengapa kesinambungan projek itu tidak berlaku sejak 2019 sedangkan beliau bukan sahaja Ahli Parlimen, malah pernah berjawatan Timbalan Menteri Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

AK Jamaludin mempersoalkan kegagalan menghidupkan semula projek Kolej Komuniti Kimanis yang dibatalkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), sedangkan Mohamad berada dalam kerajaan selepas tahun 2020.

“Jika benar berkemampuan, mengapa hampir lapan tahun berlalu tanpa hasil konkrit bagi projek berskala strategik yang boleh memberi kesan besar kepada pembangunan Bongawan dan sekitarnya,” katanya.

Beliau mengakui terdapat beberapa projek kecil dilaksanakan di kawasan Parlimen Kimanis, namun menegaskan limpahannya tidak menyeluruh dan tidak memberi perubahan signifikan kepada pembangunan Bongawan, khususnya dalam aspek infrastruktur strategik, logistik dan ekonomi setempat.

Menurut beliau, beberapa projek yang melibatkan kawasan DUN Membakut pula lebih banyak dipelopori oleh penyandang kawasan berkenaan yang juga calon GRS, Datuk Ariffin Arif.

Mengulas isu sisa kebakaran kedai lama di Pekan Bongawan, AK Jamaludin berkata permintaan yang dibangkitkan sebelum ini hanyalah pembersihan kawasan terbabit, bukan pembinaan infrastruktur baharu.

“Kita maklum bangunan itu milik persendirian, tetapi sisa kebakaran yang mencacatkan pemandangan pekan ini sepatutnya boleh diselesaikan melalui inisiatif dan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

“Ini perkara asas, namun sehingga kini tiada penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata rakyat kini semakin matang menilai kepimpinan dan memerlukan pemimpin yang berintegriti serta memiliki rekod kerja jelas, bukan bergantung kepada retorik politik semata-mata.

“Rakyat boleh menilai siapa yang konsisten bekerja, siapa yang muncul hanya menjelang pilihan raya, dan siapa yang benar-benar membawa pembangunan berskala besar kepada Bongawan,” katanya.

Menurut beliau, politik hari ini menuntut kejujuran, ketelusan serta kemampuan melaksanakan janji demi kepentingan rakyat.

— TAMAT