Home ยป Penurunan kuasa pendidikan, kesihatan kepada Sabah perlu dimuktamadkan: Hajiji
Politik

Penurunan kuasa pendidikan, kesihatan kepada Sabah perlu dimuktamadkan: Hajiji

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan Sijil Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) kepada Chung Jia Chi dari Kota Kinabalu pada Majlis Penyampaian ABCNS Siri ke-34 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu pada Selasa.

KOTA KINABALU: Penurunan kuasa bidang pendidikan dan kesihatan kepada kerajaan negeri perlu dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri berharap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memuktamadkan perkara itu seperti yang dibincangkan menerusi Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, kerajaan negeri turut menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Fadillah Yusof mengenai penurunan kuasa itu.

Beliau berkata, penurunan kuasa itu yang tertumpu kepada aspek pentadbiran dan pengurusan akan lebih memudahkan kerajaan negeri untuk melaksanakan dan mempercepatkan setiap projek pembangunan pendidikan di samping pelantikan dalam perjawatan perguruan, seperti yang diharapkan oleh rakyat negeri ini.

Menurutnya, dengan mempunyai lebih autonomi, ia akan memastikan sistem pendidikan negeri ini terus maju seiring dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia. 

“Usaha desentralisasi kuasa pendidikan ini juga secara tidak langsung membuktikan kepercayaan kerajaan Persekutuan kepada jentera kerajaan negeri khususnya dalam meningkatkan keupayaan sistem pendidikan di negeri ini.

“Kita yakin dengan adanya autonomi ini, kerajaan negeri melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan mempunyai fleksibiliti untuk pelbagai isu yang berkaitan pendidikan di Sabah.

“Dalam hal ini, para pegawai di peringkat negeri mempunyai pengetahuan yang lebih baik mengenai permasalahan rakyat di kawasan sendiri. Dengan itu kawalan dan penyeliaan yang lebih baik harus dilaksanakan dan ini secara tidak langsung membolehkan isu permasalahan rakyat dapat diurus dengan lebih cekap dan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-34 di Menara Tun Mustapha di sini hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM35 juta pada 2022 bagi melaksanakan beberapa inisiatif dalam pendidikan untuk memperkukuhkan dan melahirkan modal insan negeri ini yang berilmu demi membentuk masa depan yang gemilang.

Katanya, antara inisiatif pendidikan ialah pemberian Program Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Sabah (BISTARI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (BAGUS), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), dan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK).
 
Menurutnya, inisiatif-inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada seramai 41,590 pelajar dan 3,044 bayi di samping 1,500 sekolah dan 630 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Sementara tahun ini katanya, sebanyak RM43 juta disediakan oleh kerajaan negeri dalam Bajet 2023 untuk tujuan yang sama. 

Beliau berkata, inisiatif berkenaan berupa bantuan tunai pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT), Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), bantuan peperiksaan, anugerah kecemerlangan, sumbangan peralatan sekolah, komputer riba dan bantuan kepada PIBG.

Hajiji berkata, inisiatif yang diberikan itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan memberikan penekanan kepada peningkatan peluang pendidikan inklusif untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang mereka.

“Semua inisitaif itu terbukti memberi banyak faedah khususnya dalam mengurangkan beban kewangan golongan kurang berkemampuan dan B40. 

“Tahun ini dua lagi inisiatif bantuan pendidikan baharu akan dilaksanakan iaitu Bantuan Khas Program Pendidikan Sabah (BANTU) dan Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS),” jelasnya. 

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri GhulamHaidar Khan Bahadar dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Raisin Saidin.

— TAMAT