Home » Persekutuan kekal sokong kepemimpinan Hajiji – Anwar
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Persekutuan kekal sokong kepemimpinan Hajiji – Anwar

Perdana Menteri berkata, tujuannya menjelaskan pendirian itu adalah memastikan hubungan yang harmoni dan kerjasama berterusan kerajaan Pusat dan negeri dalam melaksanakan pembangunan demi keselesaan hidup rakyat.

PENAMPANG: Kerajaan Perpaduan persekutuan kekal dengan pendirian untuk menyokong kepemimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Menjelaskan perkara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendirian berkenaan mengambil kira prestasi dan kerjasama yang ditunjukkan kerajaan Sabah pimpinan Hajiji ketika ini.

Perdana Menteri berkata, pendiriannya jelas dan beliau tidak lagi mahu ada mana-mana pihak membangkitkan soal kedudukan kerajaan Sabah.

“Saya percaya dengan sikap dan pendirian kerajaan negeri sekarang, kita boleh beri kerjasama.

“Dalam politik negara ini, harus ada saling percaya mempercayai.

“Sebab itu saya ambil keputusan Kerajaan Perpaduan peringkat pusat, kerana kerjasama ditunjukkan dan prestasi kerajaan negeri, kita dalam Kerajaan Perpaduan di persekutuan tetap menyokong kepemimpinan Datuk Seri Hajiji sebagai Ketua Menteri.

“Jadi jangan ada orang bangkitkan soal-soal lain, pendirian saya jelas,” katanya pada pelancaran Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2023 di sini, kelmarin.

Perdana Menteri berkata, tujuannya menjelaskan pendirian itu adalah memastikan hubungan yang harmoni dan kerjasama berterusan kerajaan Pusat dan negeri dalam melaksanakan pembangunan demi keselesaan hidup rakyat.

Terdahulu, Anwar berterima kasih kepada Hajiji kerana bertegas dalam pemilihan kontraktor berwibawa bagi melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang menelan kos RM15 bilion.

“Di Sarawak sudah hampir siap, tapi di Sabah lambat siap. Nasib baik kita ada Ketua Menteri dan Menteri Kewangan yang prihatin, tidak boleh buat cara lama seperti dulu, masing-masing nak cari kontraktor.

“Jadi saya berterima kasih kepada Ketua Menteri Hajiji, jangan peduli itu, cari kontraktor terutamanya dari Sabah yang layak dan mampu menjalankan kerja. “Kalau tidak, bagilah berapa puluh bilion, kerja tak siap dan tertangguh.

“Jadi, kita kena kerjasama, mana yang mampu diselenggarakan oleh kontraktor Sabah kita berikan. Kalau tidak boleh, kita buat kerjasama dengan kontraktor peringkat kebangsaan, sebab kita nak jalan (lebuh raya) itu siap,” katanya.

— Izwan Abdullah