Home » Peruntukan kawasan DUN kerajaan dinaikkan RM1 juta
Berita Gagasan Rakyat Politik

Peruntukan kawasan DUN kerajaan dinaikkan RM1 juta

Pembantu Menteri Kewangan Tan Lee Fatt (kanan) berkata, peruntukan kawasan DUN yang dinaikkan sebanyak RM1 juta itu untuk melaksanakan projek infrastruktur kecil dan Program Sentuhan Kasih.

KOTA KINABALU: Sejak kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mentadbir kerajaan negeri, jumlah peruntukan kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerajaan dinaikkan sebanyak RM1 juta setiap tahun bermula 2021.

Pembantu Menteri Kewangan Tan Lee Fatt berkata, peruntukan kawasan DUN yang dinaikkan sebanyak RM1 juta itu untuk melaksanakan projek infrastruktur kecil dan Program Sentuhan Kasih. 

Menurutnya, pada 2021, sejumlah RM1 juta diperuntukkan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dengan agihan RM700,000 untuk melaksanakan projek infrastruktur kecil dan RM300,000 bagi Program Sentuhan Kasih.

“Pada 2022, peruntukan kepada setiap ADUN kerajaan dinaikkan kepada RM2 juta iaitu dengan agihan RM1.5 juta untuk projek infrastruktur kecil dan RM500,000 bagi Program Sentuhan Kasih.

“Tahun ini, sejumlah RM3 juta diperuntukkan kepada setiap ADUN kerajaan melibatkan agihan RM2.5 juta untuk melaksanakan projek infrastruktur kecil dan RM500,000 bagi Program Sentuhan Kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (UMNO-Nabawan) mengenai kajian semula dan cadangan untuk menambah dana atau peruntukan pembangunan di setiap kawasan DUN pada Persidangan DUN Sabah hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya berharap semua ADUN memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan kawasan yang diwakili membangun dalam pelbagai aspek termasuk tahap ekonomi dan taraf hidup rakyat. 

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa prihatin dan bersedia membuat kajian semula untuk menambah dana atau peruntukan pembangunan di setiap kawasan DUN berdasarkan kemampuan kewangan negeri.

— Siti Aisyah Narudin