TAWAU: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau diminta terus komited memimpin warga pendidik supaya dapat meningkatkan dan mengekalkan kecemerlangan yang telah dicapai di negeri ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pencapaian PPD Tawau dilihat semakin memberangsangkan dan menjadi antara yang terbaik di negeri ini.
Katanya, sebagai pemimpin di daerah ini, sangat berbangga dengan pencapaian yang telah ditunjukkan oleh PPD Tawau dan berharap ia akan berterusan sampai bila-bila.
“Saya sangat berharap warga PPD Tawau terus berkerja keras supaya lebih banyak pencapaian yang boleh dicapai, bukan sahaja di negeri ini tetapi di peringkat kebangsaan.
“Kerja keras yang ditunjukkan oleh semua pegawai pendidikan di Tawau telah membuahkan hasil kerana pelbagai pengiktirafan diberikan kepada sekolah-sekolah di dalam dan luar bandar di daerah ini,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Anugerah Gemilang Inspirasi Kurikulum (Anggerik) 2023, di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, semua warga pendidik juga diminta supaya memberi tumpuan yang jitu dalam usaha melahirkan modal insan berpengetahuan, berkemahiran, berdaya saing dan bersemangat patriotisme.
Menurutnya, budaya kerja cemerlang dan berkualiti haruslah menjadi agenda serta gagasan utama dalam usaha murni warga pendidik.
“Amalan seperti ini dapat mengangkat profesion pendidikan ke arah kerjaya profesional yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
“Semoga segala usaha gigih warga pendidik dalam melahirkan modal insan yang cemerlang menjadi pemangkin untuk terus berusaha dengan penuh dedikasi,” katanya.
Mengulas mengenai majlis Anggerik, Nizam berkata, ia adalah inisiatif untuk memberi penghormatan, penghargaan dan pengiktirafan kepada para pendidik di daerah ini.
“Saya sangat menghargai jasa dan pengorbanan semua warga pendidik di daerah ini dalam melahirkan pelajar yang cemerlang.
“Semua individu yang berjaya pada hari ini adalah hasil bimbingan dan didikan guru-guru yang melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi,” katanya.
Terdahulu, Nizam menyampaikan sumbangan sebanyak RM15,000 untuk dimanfaatkan bagi memperkasakan lagi aktiviti dan program berkaitan pendidikan di daerah ini.
Turut hadir, Timbalan PPD Sektor Perancangan Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Norlela Haji Ansley.
— Hamzah Sanudin