KUALA PENYU: Pemimpin dan ahli Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) Bahagian Kuala Penyu diajak supaya mengamalkan prinsip kerja berpasukan bagi menguatkan parti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) merangkap Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuala Penyu, Datuk Limus Jury, berkata amalan kerja berpasukan penting demi untuk menjamin kekuatan parti menghadapi cabaran politik.
“Kita hendaklah mengamalkan prinsip kerja berpasukan dalam apa jua tindakan dan urusan.
“Ini penting demi untuk menentukan kelangsungan perjuangan Parti Gagasan Rakyat dalam membela untung nasib rakyat secara konsisten dan berterusan.
“Ayuh kita jadikan Gagasan Rakyat sebagai satu-satunya pilihan dan tempat sandaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Gagasan Rakyat Bahagian Kuala Penyu dan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Kuala Penyu, di sini semalam.
Mesyuarat tahunan itu dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Dr Arifin Arif.
Limus yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya turut meminta ahli parti di semua peringkat mengukuhkan kesatuan dan perpaduan.
Selain itu, beliau meminta mereka menyusun jentera parti di semua peringkat bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang.
“Kita perlu menyusun jentera parti dengan baik dan memastikan parti kuat serta dalam keadaan cukup bersedia sebelum Dewan Undangan Negeri dibubarkan,” katanya.
Sempena dengan mesyuarat itu turut diadakan penyampaian dana, komputer riba dan mesin pencetak daripada Yayasan Pendidikan Limus Jury (YPLJ) kepada pelajar terpilih.
Limus berkata penyampaian bantuan itu sudah menjadi rutin tahunan YPLJ membantu golongan sasar, seiring matlamat memajukan aspek pendidikan anak jati Kuala Penyu.
— Kenneddy Corlleus
Add Comment