KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah mengucapkan tahniah kepada Tun Musa Haji Aman di atas pelantikan sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu.
Pengerusinya, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, pelantikan itu amat dialu-alukan oleh semua ahli peladang Sabah kerana Musa mempunyai jasa yang besar dalam membangunkan Sabah selama menjadi Ketua Menteri.
“Semasa beliau menyandang jawatan itu dan Menteri Kewangan Sabah, rizab negeri dilihat bertambah dengan ketara.
“Selain itu, pendapatan negeri juga terus meningkat dari tahun ke tahun semasa Musa menerajui kepimpinan negeri,”katanya dalam kenyataan, hari ini.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Tun Musa Haji Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu, bermula 1 Januari 2025.
Istiadat pengurniaan yang berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
–Hamzah Sanudin
Add Comment