Home » Projek naik taraf loji air Pulau Sebatik bakal dilaksanakan tahun ini
Berita Gagasan Rakyat Politik

Projek naik taraf loji air Pulau Sebatik bakal dilaksanakan tahun ini

UCAPAN: Hassan ketika memberi ucapan dalam siri jelajah di Pulau Sebatik.

TAWAU: Penduduk Pulau Sebatik, di sini sudah boleh menarik nafas lega apabila projek untuk mendalamkan loji takungan air Wallace Bay bakal dilaksanakan tahun ini.

Masalah bekalan air bersih yang saban tahun membelenggu penduduk di Pulau Sebatik apabila musim kemarau dijangka akan berakhir setelah projek naik taraf loji takungan itu dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Datuk Hassan A. Ghani Pg. Amir berkata, pihaknya sudah memanjangkan isu ini kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Kementerian Kerja Raya.

Katanya, sebelum ini juga, pihaknya sudah membawa syarikat perunding pengurusan projek untuk membuat kajian bagi mendalamkan loji takungan air di Wallace Bay ini.

“Baru-baru ini, saya difahamkan bahawa pihak perunding pengurusan projek berkenaan sudah menerima surat ‘Letter of Intent (LOI)’ daripada JANS untuk kerja-kerja penyelidikan dan kajian di loji berkenaan.

“Ini bermakna perkara berkenaan sudah diambil perhatian oleh pihak kerajaan dan saya percaya ia adalah proses awal untuk menjalankan projek naik taraf loji itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Siri Jelajah Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Sebatik di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tamang dan Sebatik, di sini semalam.

Hassan berkata, pihaknya akan memastikan projek ini dapat direalisasikan dalam masa terdekat untuk memenuhi harapan rakyat di pulau ini.

“Kami yakin projek berkenaan akan dilaksanakan pada tahun ini dan saya sendiri akan sentiasa berhubung dengan pihak berwajib supaya mengambil tindakan segera,” katanya.

JASNI, KASMAWATI
JASNI, KASMAWATI

Sementara itu, penduduk, Jasni Daud, 65, berkata, semua masyarakat kampung Pualu Sebatik memang sentiasa menantikan projek menaik taraf loji takungan air di pulau ini.

Katanya, projek mendalamkan loji air ini dilihat satu-satunya harapan penduduk di sini agar tidak mengalami masalah serupa setiap tahun.

“Saya sangat berterima kasih kepada wakil rakyat Sebatik yang selalu megambil berat isu air di pulau ini, malah telah mengambil tindakan jangka masa pendek dan panjang bagi mengatasi masalah ini.

“Kami difahamkan projek ini sudah diambil perhatian oleh pihak kerajaan dan tidak lama lagi kerja-kerja mendalamkan loji akan dilaksanakan,” katanya.

Bagi Kasmawati Masdar, 45, pula berkata, Datuk Hassan tadi memaklumkan projek mendalamkan loji air akan dilaksanakan pada tahun ini dan ia memang berita gembira buat semua penduduk di Pulau Sebatik.

Katanya, loji itu semakin cetek dan mendap kerana sudah lama tidak dinaik taraf sehinggakan tidak lagi banyak menampung air dalam satu-satu masa.

“Memang jalan terbaik setakat ini adalah mendalamkan loji itu semula supaya dapat menampung banyak air untuk disimpan sekiranya berlakunya kemarau panjang.

“Justeru, tindakan pantas wakil rakyat Sebatik ini memang patut dipuji dan ia menunjukkan keprihatinannya menangani isu yang sekian lama dialami penduduk Sebatik,” katanya.

— Hamzah Sanudin