Home » Rakyat Sabah percaya & yakin pada kepimpinan Hajiji,tidak perlu tunduk dengan desakan
KENYATAAN MEDIA Politik

Rakyat Sabah percaya & yakin pada kepimpinan Hajiji,tidak perlu tunduk dengan desakan

Johainizamsahah Bin Hj. Johari ialah Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)DUN N.58 Lamag

RAKYAT SABAH PERCAYA & YAKIN PADA KEPIMPINAN HAJIJI, TIDAK PERLU TUNDUK DENGAN DESAKAN

  1. Saya terpanggil untuk memberikan pandangan terhadap beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin sayap UMNO, khususnya Ketua Pergerakan Pemudanya baru-baru ini, yang mendesak Ketua Menteri meletakkan jawatan.
  2. Kenyataan terbaru Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Naim Moktar jelas tidak masuk akal dan dangkal.
  3. Desakan mereka supaya Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor meletakkan jawatan, bukanlah satu keperluan pada masa ini, memandangkan segala isu yang tular hanya spekulasi semata-mata dan masih belum terbukti kebenarannya. Malah, pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan perkara tersebut. Adalah lebih wajar kita menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang spekulasi.
  4. Sebaliknya, Pemuda UMNO Sabah sepatutnya juga menasihati Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, untuk melepaskan jawatan kerana menghadapi krisis integriti, reputasi, dan kredibiliti berikutan penglibatan dalam skandal rasuah beliau sehingga kes beliau selesai dibicarakan di mahkamah..
  5. Kes rasuah Bung tidak hanya mencemarkan nama beliau tetapi turut memberi impak negatif terhadap kepercayaan rakyat kepada kepimpinan negeri termasuk institusi Dewan Rakyat (Parlimen Malaysia) dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
  6. Adalah lebih bermaruah jika Bung Moktar mengambil langkah melepaskan jawatan secara sukarela untuk memberi laluan kepada individu yang lebih berintegriti dan berwibawa demi kebaikan parti itu yang semakin terhakis sokongan.
  7. Tindakan mendesak dan mencadangkan pelantikan atau pengunduran pemimpin tanpa sebab yang kukuh boleh mengundang keretakan hubungan antara Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan dan negeri Sabah. Ini hanya akan menguntungkan pihak pembangkang dan menjejaskan kestabilan politik.
  8. Semua pihak perlu menghentikan spekulasi berkaitan isu klip video dengan segera dan membiarkan pihak berkuasa menyelesaikan siasatan. Lebih penting, kita harus menghentikan teknik politik kotor yang cuba membunuh watak pemimpin kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-PH Plus, yang kini semakin mendapat perhatian dan sokongan rakyat atas prestasi cemerlang dalam mentadbir negeri.
  9. Fokus utama sekarang adalah kebajikan rakyat serta pelaksanaan dasar-dasar kerajaan negeri sebagaimana yang dibentangkan dalam Belanjawan Negeri Sabah baru-baru ini. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kestabilan dan pembangunan negeri terus menjadi keutamaan agar negeri Sabah yang kita cintai ini terus membangun dan maju setanding negeri-negeri lain.
  10. Sebagai pemimpin, kita perlu menunjukkan kematangan dalam berpolitik, menjunjung nilai integriti, dan sentiasa mendahulukan rakyat dalam segala tindakan. Hentikan politik kotor, menabur fitnah tanpa bukti kukuh kesalahan seseorang pemimpin, hanya kerana kepentingan politik peribadi dan kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) menjelang tiba.

*Johainizamsahah Bin Hj. Johari ialah Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)DUN N.58 Lamag