KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, Datuk Redonah Bahanda, menyifatkan perbezaan fahaman politik dalam keluarganya bukan halangan untuk mengekalkan keharmonian, sebaliknya mencerminkan kematangan berpolitik dalam masyarakat Sabah.
Menurut Timbalan Ketua Wanita GRS itu, hubungan kekeluargaan mesti terus dipelihara walaupun berbeza pegangan politik, kerana nilai silaturahim dan kasih keluarga jauh lebih penting daripada persaingan parti.
“Silaturahim itu lebih utama. Politik boleh berbeza, tapi kasih keluarga jangan putus,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyertaan dua abangnya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 — Datuk Wetrom Bahanda daripada parti KDM dan Verdon Bahanda, yang turut dijangka bertanding di kawasan lain.
Datuk Redonah menegaskan, setiap individu mempunyai hak dan pandangan politik masing-masing, namun hubungan kekeluargaan harus kekal harmoni serta menjadi contoh kepada masyarakat bahawa perbezaan tidak semestinya membawa perpecahan.
“Apa pun parti, kami tetap keluarga. Saya menghormati pendirian mereka, begitu juga saya yakin mereka menghormati perjuangan saya bersama GRS,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Redonah turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, atas kepercayaan yang diberikan untuk menamakan beliau sebagai salah seorang calon wanita GRS pada PRU kali ini.
“Ini bukti bahawa GRS menghargai suara wanita dan memberi peluang kepada kami untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
PRU Sabah ke-17 dijadualkan berlangsung pada 29 November 2025, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini.
— TAMAT

























Add Comment