Home » RM313 Juta disalur kepada badan bukan Islam dan Sekolah Cina bukti dasar inklusif GRS kata pemimpin PBS
Berita GRS Politik

RM313 Juta disalur kepada badan bukan Islam dan Sekolah Cina bukti dasar inklusif GRS kata pemimpin PBS

Pada tahun ini (2025) Kerajaan GRS pimpinan Hajiji telah memperuntukkan RM70 juta dalam bentuk bantuan kewangan kepada sekolah mubaligh dan swasta, kuil serta badan keagamaan bukan Islam, yang akan ditingkatkan kepada RM90 juta tahun depan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus membuktikan komitmen terhadap dasar keharmonian antara agama dan pendidikan inklusif dengan menyalurkan lebih RM313.8 juta kepada badan keagamaan bukan Islam serta sekolah aliran Cina sejak 2020.

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Arthur Sen, berkata jumlah itu merangkumi peruntukan bagi tujuan penyelenggaraan, pembangunan dan sokongan operasi rumah ibadat bukan Islam serta sekolah Cina di seluruh Sabah.

“Kerajaan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah membuktikan kesungguhan untuk menjaga keharmonian dan perpaduan rakyat Sabah.

Bantuan ini bukan bermusim, tetapi hasil dasar konsisten dan adil kepada semua,” katanya seperti dilaporkan oleh Free Malaysia Today (FMT).

Arthur berkata bantuan itu meningkat setiap tahun sejak GRS mentadbir Sabah pada 2020.

Menurut Arthur, peruntukan tahunan tersebut meningkat secara berperingkat daripada RM43 juta pada 2020 dan 2021, kepada RM47 juta (2022), RM54.05 juta (2023), RM56.75 juta (2024) dan RM70 juta tahun ini (2025).

“Tahun depan telah diumumkan akan meningkat lagi kepada RM90 juta. Ini bukti komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan semua komuniti keagamaan dan pendidikan di Sabah terus mendapat sokongan,” katanya.

Arthur berkata, langkah tersebut melambangkan dasar pentadbiran Hajiji yang berteraskan keadilan sosial dan perpaduan masyarakat majmuk, sejajar dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Selain sokongan kewangan, katanya, kerajaan negeri turut mengekalkan cuti umum tambahan pada 24 Disember sempena sambutan Krismas  iaitu satu langkah yang diperkenalkan pada 2018 dan diteruskan hingga kini.

“Keputusan mengekalkan cuti 24 Disember mencerminkan kematangan politik kerajaan negeri dan penghormatan terhadap keharmonian antara penganut agama berbeza,” ujarnya.

Beliau turut mengimbas pendirian tegas kerajaan negeri pada 2021 yang menolak cadangan memperkenalkan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, yang ketika itu diusulkan oleh pentadbiran persekutuan bagi memperkasa undang-undang syariah.

“Sabah sejak dahulu mengamalkan hubungan antara agama yang harmoni. Apa-apa dasar yang boleh menimbulkan ketegangan tidak sesuai dengan suasana masyarakat Sabah,” katanya.

Arthur menegaskan, tindakan kerajaan GRS menolak undang-undang tersebut selaras dengan pendirian Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, bahawa Sabah kekal berpegang kepada prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam MA63.

“Sabah sudah lama menjadi model perpaduan antara kaum dan agama. Kita mahu ia kekal begitu kerajaan negeri akan terus mempertahankan keharmonian ini,” katanya.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada semua pemimpin masyarakat dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah yang sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam memastikan keharmonian sosial terus terpelihara.

— TAMAT