SIPITANG: Kerajaan negeri memperuntukkan RM48 juta tahun ini yang akan disalurkan menerusi pelbagai bantuan khas pendidikan bagi memperkasa prestasi pendidikan di Sabah selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ariffin Arif berkata, inisiatif itu kesinambungan daripada bantuan khas pendidikan yang sudah dilaksanakan tahun lalu oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.
Katanya, sebanyak RM45 juta diperuntukan untuk inisiatif sama tahun lalu melibatkan 10 program bantuan khas pendidikan manakala tahun ini ada penambahan RM3 juta termasuk program pembangunan lainnya.
“Selain bantuan khas pendidikan sedia ada, terdapat dua program tambahan iaitu program dikenali sebagai Bantu yang dikhaskan untuk program keagamaan dan program pembangunan Bahasa dan Sastera.
“Justeru, saya menyeru supaya semua sekolah, rendah atau menengah kebangsaan atau jenis kebangsaan dan agama, termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) supaya dapatkan manfaat daripada bantuan khas ini.
“Permohonan boleh dibuat secara online dengan Pejabat Tugas-Tugas Khas di bawah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN),” katanya selepas merasmikan Forum Malaysia Madani dan WAM2Care di sini, pada Selasa.
Hadir sama ialah Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam; Yang Dipertua Usia, Datuk Sapawi Ahmad; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN), Sabdin Ibrahim.Dalam perkembangan lain, Sapawi yang ditemui berkata, Forum Malaysia Madani adalah anjuran bersama Usia dan TSKN bagi memberi kefahaman kepada rakyat mengenai hala tuju Malaysia Madani.
Katanya, program itu turut dilaksanakan serentak dengan penerangan tentang hala tuju SMJ yang menepati matlamat di dalam konsep Malaysia Madani cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jelajah program ini melibatkan enam zon di seluruh Sabah dan sudah dilaksanakan di empat zon manakala selebihnya iaitu Keningau akan dibuat pada 20 Jun ini seterusnya penutup di Tawau,” katanya.
Terdahulu, sebanyak RM1.6 juta berupa bantuan pendidikan dan dakwah islamiah di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) turut disampaikan kepada penerima bagi zon Pedalaman di majlis itu.
Add Comment