Home » RM50,000 peruntukan baiki jeti Kg Dogoton yang dijangka siap sebelum Hari Raya – Ruddy
Uncategorized

RM50,000 peruntukan baiki jeti Kg Dogoton yang dijangka siap sebelum Hari Raya – Ruddy

Pengumuman tersebut dibuat ketika Ruddy ditemui pemberita selepas merasmikan Program PETRONAS Uplifting Lives (Memacu Kehidupan) di Kg Dogoton pada Jumaat.

KUDAT: Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Dato’ Sri Dr Ruddy Awah melalui kementeriannya mengumumkan RM50,000 peruntukan untuk membaiki jeti yang telah rosak akibat bencana air pasang dan ombak besar di Kg Dogoton, Pulau Banggi dekat sini semalam.

Ruddy berkata, Pulau Banggi adalah satu pulau yang perlu diberi perhatian, bukan sahaja daripada kementerian-kementerian yang ada tetapi daripada agensi-agensi kerajaan yang ada juga perlu untuk melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka untuk membantu rakyat yang memerlukan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program PETRONAS Uplifting Lives (Memacu Kehidupan) oleh anak syarikatnya PETRONAS Floating LNG (PFLNG) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, di Kg Dogoton pada Jumaat.

“Saya melihat semasa sampai ke sini tadi dari jeti dataran Pitas ke jeti Kg Dogoton banyak jeti dan rumah yang telah rosak, ia adalah disebabkan bencana air pasang besar dan ombak besar melanda di kawasan ini pada Januari lalu.

“Sehubungan dengan itu, saya yakin dan percaya pihak pejabat daerah sudah pun mengajukan permohonan-permohonan untuk menyelesaikan masalah itu namun saya tahu permohonan itu bukan semudah itu peruntukan-peruntukan yang ada dikeluarkan dengan cepat.

“Bagaimanapun pihak KPLB akan terus memperjuangkan kemudahan-kemudahan asas yang perlu seperti jeti dan memandangkan tidak lama lagi kita akan meraikan Hari Raya, mereka mahu menggunakan jeti tersebut,” katanya.

Menurut Ruddy, jika jalan darat dari Kg Dogoton ke Karakit akan mengambil masa dua hingga tiga jam setengah tetapi jika menggunakan jalan laut hanya 45 minit saja, jadi kampung ini mereka ada bot

cuma masalahnya mereka tidak mempunyai jeti.

“Jadi kita cuba menyelesaikan sedikit masalah itu seperti saya katakan tadi kita telah umum RM50,000 peruntukan untuk memperbaiki jeti tersebut, kita cuba bincang bagaimana untuk membina jeti konkrit dan kita akan bentangkan pada mesyuarat akan datang.

“Itulah saya umum tadi yang penting sebelum raya kita boleh guna pakai jeti tersebut,” tegasnya.

Dalam pada itu sempena bulan Ramadan yang bakal tiba, Ruddy turut menyumbangkan RM1,000 setiap surau yang membabitkan tiga buah surau iaitu surau Kg Dogoton, surau Kg Rahmat dan surau Kg Semayan.

— NORMIMIE DIUN