Home » RM6.2 juta bantuan untuk sekolah, badan keagamaan bukan Islam di Pedalaman Bawah
Berita GRS Politik

RM6.2 juta bantuan untuk sekolah, badan keagamaan bukan Islam di Pedalaman Bawah

SAMPAIKAN: Ruslan mewakili Arifin menyampaikan sumbangan kepada salah satu penerima bantuan sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di Pedalaman Bawah di Dewan Pa' Musa.

BEAUFORT: Kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan kepada 176 institusi yang melibatkan 48 buah sekolah, 100 gereja dan 28 tokong di Zon Pedalaman Bawah dengan peruntukan berjumlah RM6.2 juta.


Keseluruhan bantuan yang diperuntukan dalam Belanjawan 2024 adalah berjumlah RM56.75 dengan agihan RM24.15 juta kepada sekolah-sekolah dan RM32.6 juta untuk badan-badan keagamaan bukan Islam.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sebanyak 1,810 kelulusan telah diberikan iaitu 346 untuk sekolah-sekolah manakala badan-badan keagamaan adalah sebanyak 1,839 kelulusan.


Berbanding tahun lepas, Arifin memberitahu, Kerajaan Negeri pada tahun ini telah menyediakan tambahan peruntukan berjumlah RM2.70 juta untuk menampung permohonan yang kian bertambah dari tahun ke tahun.


“Pada pagi ini kita menyaksikan agihan bantuan daripada Kerajaan Negeri untuk Zon Pedalaman Bawah sebanyak 176 kelulusan dengan jumlah bantuan kewangan RM6.2 juta.


“Sebanyak RM3.6 juta kepada 48 buah sekolah; RM1.7 juta untuk 100 buah gereja dan RM877,000 untuk 28 buah tokong di Zon Pedalaman Bawah, ” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Penyerahan Pemberian Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri Kepada Sekolah-Sekolah Dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam Tahun 2024 Zon Pedalaman Bawah di Dewan Pa’ Musa, dekat sini.

SAMPAIKAN: Ruslan mewakili Arifin menyampaikan sumbangan kepada salah satu penerima bantuan sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di Pedalaman Bawah di Dewan Pa’ Musa.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan.


Turut hadir ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuantim; ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Tham Yun Fook.


Mengulas lanjut, Arifin berkata, Kerajaan Negeri Sabah senantiasa prihatin dan pada masa sama amat menekankan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama demi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini.

 
“Semoga dengan sumbangan dan bantuan kewangan ini sedikit sebanyak memberi keselesaan dan manfaat serta dapat memupuk semangat persaudaraan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.


“Saya menyifatkan bantuan kewangan ini sebagai pelengkap untuk meringankan beban pihak sekolah dan badan-badan keagamaan dalam usaha memastikan kemudahan-kemudahan sekolah serta rumah-rumah ibadat sentiasa berada dalam keadaan yang kondusif, selamat dan selesa digunakan.


“Saya ingin maklumkan bahawa permohonan Bantuan Kewangan Tahun 2025 akan dibuka mulai 2 Januari hingga 31 Mac 2025. Insyaallah, dengan kedudukan kewangan negeri yang kukuh, kerajaan negeri mampu meningkatkan amaun bantuan ini.

Tambahan itu, Arifin turut menyarankan sektor swasta, dewan perniagaan dan persatuan perdagangan untuk turut serta menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk sama-sama mendukung institusi sekolah dan badan-badan keagamaan di negeri ini.

— Kenneddy Corlleus

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment