TUARAN: Sabah antara negeri yang tertinggi direkodkan bilangan orang muflis bagi tempoh 2020 hingga Mei 2022 berdasarkan statistik daripada Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).
Berdasarkan statistik bagi tempoh itu, seramai 17,599 orang telah dilaporkan muflis atau bankrap di seluruh negara, dengan 1,642 adalah bagi negeri Sabah.
Sehubungan itu, Isteri Ketua Menteri yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, berkata program pada hari ini tepat pada masanya terutama dalam mengurus kewangan dengan bijak.
“Jabatan Insolvensi Malaysia menyatakan hampir 40,000 individu telah diberi pelepasan daripada senarai bankrap setakat Februari lalu melalui Dasar Peluang Kedua. Ini adalah antara inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan bagi memberi peluang kepada rakyat menjalani kehidupan baharu seperti rakyat Malaysia yang lain.
“Bagaimanpun, kita perlu melihat berdasarkan statistik ini bahawa betapa seriusnya masalah keberhutangan dan kes bankrap melibatkan rakyat Malaysia, termasuk di Sabah. Ini secara tidak langsung telah menjejaskan pembangunan ekonomi negara serta turut mempengaruhi keharmonian institusi keluarga.
“Oleh itu, manfaatkanlah sepenuhnya program seperti hari ini agar kita lebih pandai mengurus kewangan dengan lebih baik,” katanya ketika merasmikan Programm Jerayawara Santuni Komuniti Madani Parenting @ LPPKN: SMARTFinance Pantai Dalit di Dewan Terbuka Bajau Samah Lok Batik di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Juliah menyeru ibu bapa supaya terus memainkan peranan aktif dalam memastikan kesejahteraan keluarga masing-masing.
“Tanggungjawab kita bukan sekadar memberi nafkah, tetapi juga menjadi contoh dan teladan yang baik dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni agar dapat mengejar cita-cita mereka.
“Selain itu, ibu bapa juga bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya kerana ia memberikan pengaruh yang besar dalam anak mendapat pendidikan agama dan moral yang secukupnya,” katanya.
Juliah berkata program Jerayawara yang diadakan pada hari ini merupakan siri penjelajahan ke-18 dan akan diteruskan ke seluruh negeri mengikut kawasan DUN yang telah dipilih.
“Kita optimis program ini akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini, terutama dalam usaha kita menanam kesedaran terhadap aspek pengurusan kewangan keluarga yang bijak, kesihatan keluarga, khususnya kesihatan reproduktif wanita, dan keselamatan keluarga.
“Program outreach menerusi siri penjelajahan ini juga memberi peluang kepada kita untuk menyantuni masyarakat akar umbi, mendengar suara hati dan keperluan mereka dengan lebih dekat. Melalui pendekatan ini, kita dapat memastikan setiap program dan
perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat, benar-benar mencapai sasarannya,” katanya.
–Tamat
Add Comment