Home » Sabah bentang Belanjawan 2025 berjumlah RM6.421 bilion
Berita GRS Politik

Sabah bentang Belanjawan 2025 berjumlah RM6.421 bilion

ALBUM: Masidi (tengah) bersalaman dengan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor ketika di DUN Sabah bagi pembentangan Belanjawan Negeri 2025.

KOTA KINABALU: Sabah membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM6.421 bilion untuk tahun depan dengan anggaran hasil negeri yang disasar mencapai RM6.445 bilion.

Berpaksikan teras utama memakmurkan negeri serta mensejahterakan rakyat, Belanjawan itu yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, menyaksikan lebihan sebanyak RM24.08 juta.

Daripada jumlah itu katanya, Belanjawan Negeri 2025 disediakan dengan agihan Anggaran Perbekalan dan Anggaran Pembangunan mengikut Kementerian.

Bertemakan `Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera’, Masidi menegaskan betapa pentingnya untuk berbelanja mengikut keupayaan berasaskan sumber hasil yang mampu dikutip. 

Katanya, semua pihak perlu mengutamakan pengurusan yang cekap dan mengamalkan disiplin kewangan yang tinggi. 

Menurutnya, pendekatan itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Sabah untuk memantapkan kedudukan kewangan di samping menangani masalah ketirisan dan pembaziran hasil. 

Masidi berkata, daripada jumlah Belanjawan Negeri 2025 itu, Kementerian Kewangan RM3.073 bilion perbekalan dan RM5.00 juta pembangunan.

“Kementerian Kerja Raya, RM1.097 bilion perbekalan, RM249.86 juta pembangunan. Jabatan Ketua Menteri, RM776.39 juta perbekalan, RM210.87 juta pembangunan.

“Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, RM373.24 juta perbekalan, RM148.13 juta pembangunan. Kementerian Pembangunan Luar Bandar, RM106.43 juta perbekalan, RM243.50 juta pembangunan. 

“Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, RM227.69 juta perbekalan, RM19.32 juta pembangunan. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, RM181.35 juta perbekalan, RM14.65 juta pembangunan.

“Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, RM150.51 juta perbekalan, RM11.91 juta pembangunan. Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, RM128.20 juta perbekalan, RM27.07 juta pembangunan. Kementerian Belia dan Sukan, RM90.17 juta perbekalan, RM11.29 juta pembangunan.

“Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, RM29.15 juta perbekalan, RM34.90 juta pembangunan,” katanya.

Sementara itu katanya, perbelanjaan tanggungan adalah berjumlah RM140.58 juta perbekalan dan perbelanjaan yang tidak termasuk dalam kementerian-kementerian berjumlah RM46.97 juta perbekalan.

Masidi berkata, 2023 merupakan tahun kedua Kerajaan Sabah dapat mengekalkan pungutan hasil di paras 6 bilion iaitu RM6.974 bilion.

“Kerajaan Sabah masih bergantung kepada komoditi minyak mentah petroleum (CO) dan minyak sawit mentah (CPO) sebagai sumber hasil utama. 

“Tahun ini, harga purata minyak mentah telah disemak lebih tinggi iaitu daripada Dollar Amerika Syarikat (USD) 78 setong kepada USD 88 setong. 

“Manakala bagi CPO pula, harga purata komoditi ini juga meningkat kepada RM4,000 per tan metrik jika dibandingkan dengan ramalan harga awal RM3,400 per tan metrik,” katanya.

Menurutnya, senario itu menjadi faktor utama kepada peningkatan Anggaran Hasil Disemak 2024 daripada Anggaran Asal RM5.737 bilion kepada RM6.768 bilion. 

–Yap Siong Han

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment