KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited melaksanakan inisiatif-inisiatif pembudayaan dan pengukuhan integriti dalam perkhidmatan awam negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, penganjuran Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2023 adalah inisiatif perdana yang mendukung pemboleh daya ini ke arah kecemerlangan sistem pentadbiran negeri yang cekap berlandaskan integriti, akauntabiliti dan ketelusan.
Justeru katanya, lima strategi utama digariskan untuk melaksanakan inisiatif pembudayaan dan pengukuhan integriti berkenaan iaitu pertama melalui Komitmen Pengurusan Atasan.
“Kepimpinan kerajaan negeri amat menitikberatkan prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan, yang mana ia dapat dilihat melalui sokongan pengurusan tertinggi dalam memastikan negeri ini melonjak sebagai pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan ‘Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA).
“Kedua, memantapkan kesedaran mengenai kepentingan penilaian risiko dalam organisasi. Pengurusan Risiko Rasuah dilaksanakan di setiap agensi untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran pegawai agar bertanggungjawab dalam setiap tindakan dan kuasa yang diberi.
“Ketiga, memantapkan langkah kawalan membendung risiko dan ancaman isu integriti, rasuah, penyelewengan, dan salah guna kuasa,” katanya.
Hajiji berkata, perkara keempat adalah keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan dalam memastikan pematuhan oleh setiap pihak berkepentingan dalam organisasi di semua agensi kerajaan negeri.
Selain itu jelasnya, kelima melibatkan pemerkasaan latihan dan komunikasi nilai-nilai murni dalam meningkatkan pemahaman dan kemahiran pegawai kerajaan dalam membanteras isu integriti dan rasuah.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan KITA 2023 dan Sesi Penyerahan Sijil Tamat Program Pegawai Integriti Bertauliah (CelO) Siri 36 Bilangan 3 Tahun 2023 Kerajaan Negeri Sabah di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri melalui Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sahaja sedang berusaha keras memulihkan dan membangunkan semula ekonomi negeri, tetapi juga memantapkan sistem penyampaian kerajaan, agar menjadi lebih cekap, telus, pantas dan tangkas.
Menurutnya, bagi mencapai usaha itu, ia memerlukan penjawat awam yang berdedikasi, berdisiplin dan berintegriti dalam memikul dan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.
“Di Sabah, kerajaan negeri memetakan Hala Tuju SMJ sebagai landasan dengan hasrat membawa citra inklusiviti, pemilikan bersama, kesatuan dan tanggungjawab setiap anak watan untuk menjayakan agenda pembangunan negeri.
“Pemboleh daya keempat dalam Hala Tuju SMJ Pelan Pembangunan SMJ 2021-2025 adalah kecemerlangan tadbir urus yang berintegriti.
“Nilai integriti adalah asas dan keperluan utama dalam mencapai misi dan visi yang disasarkan. Bagi tujuan ini, kecemerlangan tadbir urus boleh dicapai melalui empat strategi utama, iaitu meningkatkan agenda antirasuah; penerapan nilai-nilai murni dan etika kerja terbaik; memperkukuhkan mekanisme semak dan imbang serta pembangunan pelan antirasuah organisasi,” jelasnya.
Beliau berkata, KITA 2023 yang mengangkat tema ‘Integriti Teras Perkhidmatan Madani’ adalah aspirasi kerajaan negeri untuk menganjurkan satu konvensyen bertemakan integriti yang dizahirkan ketua menteri ketika majlis Hari Integriti Negeri Sabah 2022.
“Lebih menarik lagi, KITA 2023 menjadi mercu kebanggaan kerajaan negeri sebagai tuan rumah rasmi yang mempunyai hak eksklusif sebagai penganjur. Status ini menjadikan negeri Sabah sebagai pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan GIA di Malaysia.
“Tidak ketinggalan juga pendidikan kesedaran antirasuah dikembangkan kepada semua peringkat usia dan memperkukuhkan lagi agenda mempromosi serta mendidik masyarakat mengenai nilai murni dan membina sahsiah terpuji.
“Saya mengharapkan supaya segala inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan agar mampu memberikan manfaat dan pulangan langsung kepada rakyat,” katanya sambil menambah pengukuhan integriti adalah komponen yang penting dalam melestarikan budaya integriti.
Hajiji berkata, kerajaan negeri melaksanakan inisiatif Minggu Integriti Kementerian melibatkan 10 kementerian dan Jabatan Ketua Menteri (JKM).
“Pelaksanaan Minggu Integriti ini diselaraskan secara bergilir-gilir selama satu minggu melibatkan komitmen menteri, pengurusan tertinggi, pegawai dan semua warga kementerian termasuk jabatan, Badan Berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK).
“Program ini adalah kejayaan besar buat negeri Sabah melihat kepada kapasiti penglibatan yang menyeluruh, kualiti program dan satu-satunya dilaksanakan di Malaysia,” katanya.
Katanya, sebagai hala tuju dalam merakyatkan sistem penyampaian berintegriti, kerajaan negeri komited untuk terus mempelopori, menerajui dan menjadi penanda aras segala usaha pemantapan GIA di Malaysia.
Menurutnya, ia melibatkan tiga terma rujukan iaitu pertama, melaksanakan penginstitusian tadbir urus berlandaskan prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam perkhidmatan.
“Kedua, memperkasakan Sistem Pengurusan Aduan Awam yang cekap dan berkesan, manakala ketiga, memastikan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa dilaksanakan,” katanya.
— TAMAT
Add Comment