Home » Sabah terbuka terima pemindahan teknologi dari China :James
Berita GRS Politik

Sabah terbuka terima pemindahan teknologi dari China :James

Datuk James Ratib menerima kunjungan hormat delegasi Dewan Perniagaan China Sabah (SCCC) yang diketuai Datuk Frankie Liew di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyatakan sokongan penuh serta keterbukaan terhadap sebarang bentuk pemindahan teknologi dari luar negara, khususnya dari China, sebagai langkah strategik bagi memperkasakan pembangunan pendidikan, sains, teknologi dan inovasi di Sabah.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, inovasi merupakan pemacu utama pembangunan negeri dan berharap Dewan Perniagaan China Sabah (SCCC) dapat terus memainkan peranan aktif membantu kerajaan melalui cadangan serta inisiatif memperkenalkan teknologi canggih dari China ke Sabah.

Menurutnya, hubungan strategik kukuh antara SCCC dan pemain industri di China adalah satu kelebihan yang wajar dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuka peluang kerjasama teknologi, pelaburan dan pembangunan kepakaran tempatan.

“Pengerusi SCCC, Datuk Frankie Liew, mempunyai jaringan yang erat dengan syarikat-syarikat di China. Hubungan ini amat penting dalam memperluas kerjasama teknologi, menarik pelaburan berkualiti dan membangunkan kepakaran di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi SCCC seramai 14 orang yang diketuai Presidennya, Datuk Frankie Liew, bersama Timbalan Presiden, Brett Chua, di sini.

James menegaskan kementeriannya mengalu-alukan sebarang kerjasama strategik yang berpotensi dilaksanakan, khususnya inisiatif melibatkan pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan serta penerapan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), selaras dengan agenda pembangunan negeri.

Beliau turut menyambut baik inisiatif, teknologi dan kepakaran dari luar negara, khususnya China, bagi memperkasa industri teknologi dan latihan kemahiran di Sabah, termasuk dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Dalam pada itu, Brett memaklumkan bahawa China mempunyai pelbagai teknologi berkaitan latihan TVET yang berpotensi dikongsikan. Bagaimanapun, katanya, Sabah ketika ini masih memerlukan platform yang lebih sesuai untuk menerima dan melaksanakan teknologi tersebut secara menyeluruh.

“Sehubungan itu, lawatan ini kami anggap sebagai titik permulaan penting ke arah merealisasikan kerjasama strategik dalam bidang TVET antara SCCC dan kerajaan negeri,” katanya.

–TAMAT