Home » Salur peruntukan besar kepada Sabah: Mazlan
Berita Gagasan Rakyat Politik

Salur peruntukan besar kepada Sabah: Mazlan

AMANAT: Mazlan menyampaikan ucapan semasa Mesyuarat Kelompok dan Jelajah Gagasan Rakyat Bahagian Lumadan di Dewan Serbaguna Gadong.

BEAUFORT: Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Lumadan, Mazlan Joehari Manan meminta Kerajaan Persekutuan supaya menyalurkan peruntukan yang lebih besar kepada Sabah terutama dana bagi setiap agensi kerajaan di negeri ini.

Ini kerana katanya, geografi Sabah dengan Semenanjung berbeza terutama dari sudut keluasan dan tidak wajar peruntukan disalurkan sama dengan negeri-negeri di Semenanjung.


“Kerajaan Persekutuan perlu memberi peruntukan lebih besar untuk pembangunan Sabah khususnya dana kepada semua agensi kerajaan yang ada di negeri ini.


“Ia wajar kerana Sabah lebih luas berbanding negeri-negeri di Semenanjung dari segi geografi dan logistik.


“Jangan anggap Sabah sama dengan negeri di Semenanjung kerana dari segi keluasan, geografi dan logistik, negeri ini lebih luas hingga perlukan peruntukan lebih besar untuk pembangunan.


“Malah, dari daerah ke daerah lainnya juga jauh hingga menyukarkan penjawat-penjawat awam melakukan perjalanan atas lawatan kerja terutamanya ke kawasan pedalaman yang sememangnya mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Kelompok dan Jelajah Gagasan Rakyat Bahagian Lumadan di Dewan Serbaguna Kampung Gadong, baru-baru ini.


Mengulas lanjut, Mazlan memberitahu, sewajarnya setiap peruntukan yang ingin disalurkan kerajaan pusat harus selari dengan keperluan berdasarkan faktor keluasan, geografi dan logistik wilayah atau negeri.


Menurutnya, sekiranya faktor perkiraan penduduk jadi dasarnya, maka Sabah selamanya akan terus ketinggalan.


“Jangan jadikan jumlah penduduk sebagai kategori utama untuk jumlah peruntukan yang akan disalurkan tetapi harus berdasarkan keperluan keluasan, geografi dan logistik sesebuah kawasan itu, ” katanya.

Mazlan turut memberikan contoh membabitkan peruntukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk dana pembangunan belia yang dilihat tidak seimbang.

Katanya, setiap dana pembangunan belia disalurkan kepada Pejabat KBS dan Sabah hanya mempunyai enam bahagian Pejabat KBS berbanding negeri lain di Semenanjung yang memiliki Pejabat KBS di setiap daerah.


“Sedangkan Sabah mempunyai lebih banyak daerah daripada negeri lain di Semenanjung namun kita hanya ada enam Pejabat KBS di negeri ini yang sudah tentu peruntukan disalurkan tidak seimbang.


“Justeru, kerajaan pusat harus mengambil perhatian terhadap permasalahan ini dengan memastikan penambahan peruntukan lebih besar untuk Sabah, sekaligus memenuhi aspirasi rakyat,” katanya.


Tambah Mazlan, penambahan itu juga perlu merangkumi peruntukan Ahli Parlimen yang difahamkan hanya RM1.3 juta setahun yang sudah tentu tidak mampu memenuhi keperluan rakyat di kawasan parlimen.


“Sebagaimana saya katakan, keluasan geografi serta logistik di Sabah luas dan jauh malah situasi ini turut merangkumi kawasan parlimen yang kebanyakannya lebih besar daripada negeri Melaka,” katanya.

— Kenneddy Corlleus