KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif membidas satu laporan yang mengaitkan dirinya dengan skandal perlombongan di Sabah.
Menyifatkan laporan tersebut ‘berniat jahat’, Arifin merancang untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Saya ingin menyatakan bahawa laporan media tersebut adalah satu laporan yang berniat jahat kerana mengandungi dakwaan-dakwaan yang tidak tepat, mengelirukan, dan juga mengandungi fakta-fakta yang palsu dan memfitnah,” katanya dalam sebuah kenyataan disiarkan di facebook.
Arifin menambah portal berita itu tidak pernah menghubungi beliau untuk mendapatkan pengesahan.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan di IPD Kota Kinabalu berkait laporan disiarkan sebuah portal berita pada 3 Feb lalu.
Pada Disember, satu siri video yang mengaitkan beberapa Adun Sabah dengan dakwaan skandal perlombongan, telah didedahkan oleh seorang individu yang dikatakan ‘pemberi maklumat’.
Menurut sumber dalaman, ini sebahagian daripada plot untuk menjatuhkan gabungan pemerintah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Bulan lepas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki, berkata siasatan berkaitan kes rasuah perolehan projek mineral di Sabah sudah selesai.
— TAMAT
Add Comment