Home » Sejarah tercipta, Hari Sabah bawa makna maha besar
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik Sudut Pandangan

Sejarah tercipta, Hari Sabah bawa makna maha besar

Berdasarkan laporan sejarah, Sabah diberi kebebasan oleh British untuk berpemerintahan sendiri pada 31 Ogos 1963. (Gambar Hiasan)

DI HADAPAN sebuah hotel menghadap laut di Bandaraya Kota Kinabalu, sebuah astaka sementara sedang dibina. Genap seminggu lagi, lokasi ini bakal menjadi tumpuan. Ribuan orang akan berhimpun — meraikan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah pada 31 Ogos.

Saya melintasi jalan ini pagi tadi ketika dalam perjalanan ke pejabat. Cuaca sedikit mendung. Di sebalik redup matahari, pekerja gigih bertukang menyiapkan pentas itu. Tempat para undangan nantinya berdiri, melaungkan kalimah Merdeka berulang kali. 

Seperti negeri lain, Sabah menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh kemeriahan dan jiwa patriotisme. Semangat membara. Sarat dengan harapan tinggi tentang isi kemerdekaan.

Dirgahayu Malaysiaku. Jayalah Sabah negeriku. Makmurlah bangsaku di bumi pertiwi ini.

Petang 31 Ogos nanti, Sabah mencatat sejarah baharu apabila meraikan buat julung kali sambutan Hari Sabah pada sebelah petangnya.

Seusai acara di Kota Kinabalu, para pemimpin negeri akan bergerak ke Tambunan, sebuah daerah di pedalaman berjarak sekitar 80 kilometer dari ibu negeri, di mana sambutan acara Hari Sabah itu diadakan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor, mengumumkan bahawa keputusan mengadakan sambutan Hari Sabah dibuat dalam mesyuarat Kabinet negeri minggu lepas.

Katanya, daerah Tambunan dipilih sebagai lokasi sambutan sulung itu dan akan digilirkan di setiap daerah seterusnya selepas ini.

“Kerajaan Negeri turut memutuskan sambutan yang menandakan sejarah penting Sabah itu diadakan pada setiap tahun dengan menggilirkan lokasi sambutan di setiap daerah.

“Marilah kita memperingati hari yang menandakan berakhirnya pemerintahan British di Sabah dan bermulanya perjalanan kita bersama untuk berpemerintahan sendiri,” katanya.

Sesungguhnya, sambutan Hari Sabah ini membawa signifikan dan makna maha besar.

Ia bukan sekadar menandakan detik kemerdekaan negeri ini daripada penjajahan British 60 tahun lalu, tetapi juga merupakan permulaan sebuah perjalanan jauh berliku.

Ia bukan kisah nostalgia masa lalu, tapi sebuah jalur perjuangan panjang dan syahdu.

Berdasarkan laporan sejarah, Sabah diberi kebebasan oleh British untuk berpemerintahan sendiri pada 31 Ogos 1963.

Tarikh berkenaan serentak dengan ulang tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang keenam, selepas merdeka daripada British pada 31 Ogos 1957.

Selepas itu, Sabah kemudian sama-sama membentuk persekutuan Malaysia dengan Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak pada 16 September 1963.

Sebelum ini, Sarawak turut mengisytiharkan hari kemerdekaannya dan meraikan Hari Sarawak pada setiap 22 Julai.

Syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji kerana mencipta satu lagi sejarah untuk Sabah.

Ini pastinya mengembirakan segenap lapisan rakyat yang mencintai dan menghargai erti sebuah perjuangan.

Sambutan Hari Sabah, `Sabah Day’ atau apapun istilahnya, pasti menjadi detik bersejarah yang akan diingat oleh setiap generasi sampai bila-bila.

Inilah bukti komitmen dan perjuangan abadi seorang pemimpin negeri bernama Hajiji yang dalam diam mengabdikan diri untuk sebuah negeri bernama Sabah.

Seperti sambutan hari kebangsaan, Hari Sabah adalah milik kita bersama.

Ia dilaungkan sejak lama dahulu, tapi hanya sekarang menjadi realiti di bawah pimpinan negeri bijak bestari.

Semoga Sabah terus makmur dan damai. Rakyatnya mesti bersatu hati. Tidak berkelahi sesama sendiri hanya kerana berbeza parti, berlainan ideologi.

Sejak dulu, orang Sabah terkenal tinggi sopan dan adabnya. Teruslah menjunjung budi pekerti yang tinggi itu sebagai rakyat yang bersifat madani.

Demi Sabah, Hajiji mengemudi negeri sekuat kudrat.  Bahunya menggalas mandat yang diberi rakyat dalam pilihan negeri lepas, yang memangkah mengikut suara hati dan memilih mengikut lunas demokrasi.

Dalam perjuangan menuntut hak-hak untuk Sabah, Hajiji memutuskan hal-hal yang patut kerana tahu ramai orang mengikut.

Seperti Hari Sabah, hatinya kuat mahu ia disambut setelah lama usaha itu tersangkut. Inilah caranya. Bertindak patut di sebalik sifat lemah dan lembut.

Atas semangat Hari Kebangsaan dan Hari Sabah, pinggirkan sentimen politik. Kini waktunya untuk bekerja bersama pimpinan negeri.

Jika semua menjulang prinsip ini, pasti Sabah meluncur maju. Biarkan suhu politik menyejuk. Selepas gelora dan badai menduga, laut pasti damai semula.

Tugas warga untuk kembali bertaut meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah. Sebagai rakyat bertamadun, hendaknya kita menjaga adab dan santun supaya harmoni hidup serumpun.

Selamat mengibar Jalur Gemilang!

*Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pemerhatian beliau sebagai pemerhati politik yang sentiasa berfikir di luar kotak.