PUTATAN: Seni silat perlu diketengahkan secara serius oleh persatuan-persatuan seni silat di negeri ini supaya popularitinya setanding dengan seni mempertahankan diri yang lain.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ia termasuklah untuk menarik minat generasi muda supaya meminati seni silat sebagai ilmu mempertahankan diri selain mengekalkan warisan pusaka bangsa itu secara turun temurun.
“Aktiviti persilatan di Sabah tidaklah serancak atau sehebat di Semenanjung kerana di negeri ini, seni mempertahankan diri seperti karate dan taekwando lebih mendominasi masyarakat di Sabah.
“Fenomena ini harus diambil perhatian oleh persatuan-persatuan seni silat dan badan-badan bukan kerajaan yang lain, terutama persatuan-persatuan kebudayaan, agar menyelitkan aktiviti persilatan di dalam program yang dianjurkan.
“Saya menggalakkan anak-anak muda menceburi apa juga bidang berkaitan kesukanan, khususnya seni silat.
“Ia bukan hanya dapat mengisi masa lapang tetapi juga dapat menjauhkan diri daripada terjebak dalam aktiviti yang tidak berfaedah dan paling penting sebagai benteng yang dapat mempertahankan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Program Sabah International Silat Festival 2023 (SISF2023) di sini, kelmarin.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Dalam pada itu katanya, festival silat antarabangsa ini juga tepat pada masanya, selain pengunjung berpeluang melihat pelbagai seni silat tetapi juga festival ini mampu mempromosikan Sabah di mata dunia, sekali gus menarik pelancong berkunjung ke negeri ini.
Justeru, Hajiji mengesyorkan agar penganjur mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, termasuk agensinya untuk memasukkan Festival Silat ini ke dalam kalender sebagai satu lagi tarikan kepada pelancong.
“Saya percaya menerusi festival seperti ini, ia boleh menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negeri berkunjung ke Sabah.
“Sebenarnya seni silat bukan hanya terdapat atau dikenali di negara kita atau di Nusantara, tetapi juga mula terkenal di negara-negara luar.
“Ramai individu asing, termasuk mereka yang berasal dari negara Barat, datang ke Malaysia dan ke Indonesia, semata-mata untuk mendalami ilmu persilatan.
“Ini menunjukkan bahawa seni silat adalah setanding dengan seni mempertahankan diri yang lain,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri menerusi Kementerian Belia dan Sukan amat menggalakkan penyertaan anak muda dalam aktiviti riadah dan kesukanan termasuk
seni silat.
“Saya berharap festival seperti ini dapat mencungkil bakat muda dalam seni silat di negeri ini, yang boleh diketengahkan untuk mengharumi nama Sabah dan negara pada masa akan datang,” katanya.
— Tamat
Add Comment