TAWAU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wallace Bay Pulau Sebatik di sini, kini menikmati ketersambungan internet yang lebih baik.
Kemudahan itu akan akan memberi manfaat kepada seramai 25 guru dan 293 pelajar, melalui inisiatif komuniti oleh Yayasan PETRONAS.
Inisiatif penambahbaikan ketersambungan internet itu bukan sahaja memberi manfaat kepada sekolah berkenaan, malah juga kepada komuniti yang lebih meluas di pulau itu pada masa hadapan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif melancarkan inisiatif berkenaan pada Jumaat, diiringi Naib Presiden Kanan PETRONAS bagi Pengurusan Petroleum Malaysia Datuk Bacho Pilong, menggambarkan betapa bermaknanya inisiatif itu terhadap sekolah berkenaan.
Mohd Arifin berkata, pelancaran itu menandakan satu peristiwa penting bagi SMK Wallace Bay kerana ia kini dilengkapi ketersambungan internet yang lebih baik.
“Ini sudah tentu akan membuka ufuk baharu kepada pelajar, memberikan mereka sumber dan peluang yang tidak ternilai ke arah masa depan yang lebih cerah.
“Saya berasa gembira kerana inisiatif ini juga selaras dengan usaha kementerian saya dalam memperluaskan akses dan liputan internet di Sabah, dan meminimumkan jurang digital,” katanya.
Sementara itu, Bacho berkata, pendidikan adalah penting untuk menjamin masa depan yang lebih baik.
Katanya, dengan kemajuan pesat teknologi, kepentingan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) tidak boleh dipandang ringan.
“Kami percaya bahawa ketersambungan digital boleh meningkatkan pengalaman pembelajaran dalam kalangan pelajar dan menyokong daya usaha guru dalam mendidik pelajar.
“Ini adalah antara inisiatif PETRONAS untuk memastikan kita maju secara kolektif sebagai sebuah negara,” katanya.
Acara berkenaan turut menyaksikan obor PETRONAS 50 Homecoming dibawa ke sekolah berkenaan, menjadi lambang penghormatan terhadap semangat kental untuk mengatasi cabaran demi mencapai kejayaan, seperti yang dibuktikan oleh Bacho sendiri sebagai anak jati Pulau Sebatik.
SMK Wallace Bay merupakan lokasi terakhir siri jelajah itu di Sabah sebelum meneruskan perjalanan ke Sarawak.
Sekolah itu juga merupakan tempat bertugas Azrinsyah Abdul Aziz, seorang guru yang mengikuti Program Duta Guru, sebuah inisiatif andalan Yayasan PETRONAS yang bertujuan memperkukuh keupayaan 4,500 guru STEM di seluruh negara menjelang tahun 2030.
“Melalui Yayasan PETRONAS, kami komited untuk menyokong pendidik seperti Cikgu Azrinsyah di SMK Wallace Bay ini, yang begitu dedikasi dalam memupuk generasi pemimpin dan penyelesai masalah pada masa hadapan,” kata Bacho.
Inisiatif internet komuniti merupakan sebahagian daripada komitmen Yayasan PETRONAS untuk memartabatkan komuniti di seluruh Malaysia melalui tiga teras program impak sosialnya iaitu Pendidikan, Kesejahteraan dan Pembangunan Komuniti dan Alam Sekitar.
Dengan menangani keperluan kritikal ketersambungan internet di kawasan terpencil, Yayasan PETRONAS berhasrat untuk memperkasakan komuniti tempatan dengan akses kepada sumber pendidikan yang lebih luas.
— TAMAT
Add Comment