Home » Sokong Gagasan Rakyat demi kesejahteraan dan pembangunan kawasan
Berita Gagasan Rakyat Politik

Sokong Gagasan Rakyat demi kesejahteraan dan pembangunan kawasan

AHLI: Abdul hakim menerima borang keahlian dan cawangan baharu Gagasan Rakyat di kawasan tungku.

LAHAD DATU: Kawasan Tungku memerlukan lebih banyak pembangunan demi kesejahteraan rakyat dan perkara ini hanya dapat direalisasikan jika kawasan ini mempunyai wakil rakyat dari kerajaan.

Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tungku, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan berkata, Tungku masih memerlukan pembangunan dari segi infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik serta dari aspek pendidikan.

Namun, sehingga kini perkara ini masih belum dapat direalisasikan kerana kawasan berkenaan masih dipegang oleh wakil rakyat dari pihak pembangkang.

“Justeru, saya berharap agar semua rakyat di kawasan ini dapat melihat pencapaian dan usaha berterusan kerajaan negeri dibawah pemerintahan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk Gagasan Rakyat dalam membangun dan mensejahterakan rakyat.

“Beri sokongan kepada parti yang ikhlas berjuang untuk membela rakyat dan membangun kawasan agar kita semua dapat menikmati hasilnya,” katanya.

Abdul Hakim berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Tungku, di sini pada Ahad.

Menurut Abdul Hakim yang juga Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, kerajaan dibawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sentiasa bergerak selari dengan Hala Tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Halatuju ini, katanya, jelas dengan inisiatif-inisiatif yang bertujuan mewujudkan pertumbuhan yang inklusif dan mengurangkan jurang sosial di Sabah serta memastikan bahawa pembangunan yang dijalankan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Katanya, menerusi halatuju SMJ juga, pelbagai inisiatif telah di perkenalkan dan pelbagai bantuan telah di rangka serta dilaksanakan melalui program modal insan dan kesejahteraan rakyat.

“Semua usaha dan inisiatif ini dilaksanakan demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat. Saya yakin jika kerajaan terus mendapat kepercayaan rakyat, lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan.

“Saya berharap semua perwakilan, bermula hari ini, sama-samalah kita turun padang bagi memastikan ahli keluarga, sahabat dan rakan kita supaya bersama dalam Gagasan Rakyat bagi memastikan kita mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hakim ketika ditemui menzahirkan rasa syukur atas sokongan yang menggalakkan dari rakyat di kawasan ini kepada Gagasan Rakyat.

Katanya, dengan keahlian yang semakin meningkat, Gagasan Rakyat semakin menjadi pilihan rakyat, termasuk golongan belia di kawasan ini.

“Kita dapat melihat sambutan luar biasa dan sokongan rakyat terhadap Gagasan Rakyat mencerminkan pemilihan parti ini bertanding pada PRN akan datang,” katanya.

— TAMAT