Home » STAR sokong Hajiji terus terajui Sabah selepas PRN
Berita GRS Politik

STAR sokong Hajiji terus terajui Sabah selepas PRN

Ketua Bahagian STAR Kiulu Terence Sinti

TUARAN: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyokong supaya Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor terus memimpin kerajaan Sabah selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ketua Bahagian STAR Kiulu Terence Sinti berkata, sejak kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Hajiji, hasil kerajaan negeri menunjukkan peningkatan yang sangat ketara.

Katanya, kemasukan pelabur asing dan domestik juga semakin ramai dan ia sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang positif.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

“Sejak tahun 2021, Sabah menunjukan peningkatan yang sangat ketara dalam pungutan hasil dari RM5.449 bilion pada 2021 kepada RM6.97 bilion pada tahun 2023.

“Sabah juga menunjukkan peningkatan yang sangat besar dalam meningkatkan nilai pelaburan dan berada di kedudukan pelaburan ketujuh tertinggi di dalam negara.

“Semua ini jelas menunjukkan bukti bahawa di bawah kepimpinan Hajiji, Sabah berada pada landasan yang baik untuk terus maju menjelang tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Krismas anjuran STAR Tuaran baru-baru ini.

Terence berkata, bahawa STAR Tuaran sudah siap sedia menghadapi pilihanraya yang dijangka akan diadakan pada tahun ini.

Katanya, semua jentera pilihanraya STAR di peringkat bahagian DUN Sulaman, Dalit, Tamparuli dan Kiulu telah bersiap sedia turun padang membantu berkempen untuk calon GRS.

Dalam majlis itu, turut diadakan acara kesyukuran meraikan pelantikan Senator Datuk Edward Linggu sebagai Ahli Dewan Negara baru-baru ini.

Terence berkata, pelantikan itu merupakan satu penghormatan kepada STAR khususnya di daerah Tuaran.

“Saya percaya dengan pelantikan ini, Edward akan memainkan peranan penting dalam memperjuangkan suara-suara rakyat khususnya di Tuaran ini untuk dibawa ke perhatian kerajaan Persekutuan,” katanya.

— TAMAT