Home » Tiada PRN awal, kerajaan sekarang kekal hingga tamat penggal: Hajiji
Berita Gagasan Rakyat Politik

Tiada PRN awal, kerajaan sekarang kekal hingga tamat penggal: Hajiji

Hajiji menyantuni ribuan masyarakat yang hadir pada majlis kelmarin.

Tuaran : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak akan dibubarkan lebih awal untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya kekal sehingga tamat penggal hujung September tahun hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini kerana Kerajaan negeri masih banyak tugasan yang perlu ditunaikan khususnya bagi menyelesainya masalah rakyat di Sabah.

“Ini saya tidak tahu, walaupun sebagai sebuah Kerajaan yang akan membuat keputusan bila kita mengadakan pilihan raya, tetapi tempoh kita sehingga hujung bulan September tahun depan.

“Jadi kita masih lagi banyak tugasan yang perlu ditunaikan dan dilaksanakan oleh Kerajaan khususnya untuk menyelesaikan masalah-masalah yang rakyat sedang hadapi sekarang ini seperti air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Sri Sulaman di sini kelmarin.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, pihaknya akan melaksanakan dan menyelesaikan masalah yang diwarisi daripada Kerajaan terdahulu.

“Walaupun masalah air ini bukan perkara baru dan ia diwarisi daripada Kerajaan yang lalu, tetapi sebagai Kerajaan bertanggungjawab, kita akan melaksanakannya.

“Kita sudah mempunyai peruntukan RM300 juta untuk melaksanakan beberapa projek yang kita rasa kalau siap nanti akan dapat melancarkan agihan air itu ke Kota Kinabalu dan juga daerah-daerah yang lain.

“InsyaAllah dalam jangka masa tahun ini kita dapat selesaikan pelaksanaan projek untuk air ini,” katanya.

— TAMAT