Home » Tumbuk Adun Kunak: Wanita GRS desak tindakan tegas ke atas Sarifuddin
Berita GRS Politik

Tumbuk Adun Kunak: Wanita GRS desak tindakan tegas ke atas Sarifuddin

Noraiza menambah wanita tidak patut menjadi sasaran kepada tingkah laku seumpama itu.

KOTA KINABALU: Sayap Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merotai Sarifuddin Hata yang tular menerusi rakaman video, menunjukkannya menumbuk bahu Adun Kunak, Datuk Norazlinah Arif.

Timbalan Ketua Wanita GRS Noraiza Mohammad Noor Mansoor berkata menumbuk bahu seorang wanita dengan sengaja adalah memalukan, tidak boleh diterima dan bukanlah cara sepatutnya menyapa seorang rakan.

“Ini bukan cara kita berhubung, malah tindakan ini merendahkan maruah seorang wanita dan ianya tidak boleh dimaafkan, lebih-lebih lagi selepas Sarifuddin tidak bertindak sewajarnya jika menganggap itu hanyalah gurauan,” katanya dalam kenyataan, Rabu.

“Berhenti dan mohon maaf atau bertanya akan keadaan Norazlinah adalah tindakan sepatutnya jika beliau menganggap ia gurauan, namun Sarifuddin memilih untuk terus berjalan seperti tidak ada apa yang berlaku. 

“Adakah kelakuan wakil rakyat seperti ini boleh diterima? Sedangkan, kita sedia maklum, Adun Kunak adalah seorang muslimah yang bertubuh kecil dan untuk merasakan tumbukan dari seorang lelaki sudah tentu sakit.”

Adun Kunak Norazlinah Arif (kiri), Adun Merotai Sarifuddin Hata (kanan)

Noraiza, yang juga Ketua Wanita SAPP, menambah wanita tidak patut menjadi sasaran kepada tingkah laku seumpama itu. 

“Bahkan, menyentuh seseorang tanpa persetujuan boleh mengakibatkan individu itu dikenakan tindakan undang-undang, ditambah dengan sentuhan yang berniat untuk menyakiti fizikal seorang wanita.

“Seorang wakil rakyat seharusnya menjadi model peranan dalam mempromosikan nilai-nilai positif seperti kesopanan dan menghormati, orang lain tanpa memandang jantina,” katanya.

TANGKAPAN skrin video kejadian itu apabila Sarifuddin didakwa menumbuk bahu Norazlinah.

Beliau berkata, kenyataan Sarifuddin selepas tindakannya tular dan mendapat perhatian ramai menunjukkan sifatnya yang tidak bertanggungjawab, tidak menghormati dan mencerminkan sikap seorang wakil rakyat yang tidak tahu menghormati martabat dan hak asasi manusia.

“Jika tindakan ini dinormalisasi, maka ianya boleh membawa kesan di mana kekerasan dapat diterima dalam interakasi sosial dan sikap ini bertentangan dengan prinsip keadilan dan perlindungan terhadap semua lapisan masyarakat khususnya wanita.

“Sarifuddin harus dibawa ke muka pengadilan dan jika perlu biarkan beliau tidur di penjara atas perilakunya yang biadap terhadap wanita.

“Kami tidak akan bertoleransi terhadap keganasan dan penghinaan terhadap wanita dalam bentuk apa pun.

“Semoga ini menjadi satu pengajaran kepada semua, bahawa kita tidak akan membiarkan tingkah laku sedemikian berleluasa,” katanya.

— TAMAT