TONGOD: Yayasan Pendidikan Tongod bakal ditubuhkan sebagai inisiatif membantu pelajar kurang berkemampuan di daerah ini untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, inisiatif itu adalah solusi baharu bagi meningkatkan jumlah anak muda berpendidikan tinggi di daerah ini.
“Saya yakin menerusi yayasan itu, dapat melahirkan lebih ramai anak muda di Tongod yang berpendidikan tinggi.
“Justeru, saya melihat yayasan itu dalam masa panjang dapat menjadi pendorong kepada pelajar-pelajar di sini untuk terus belajar bersungguh-sungguh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis kesyukuran keluarga Milian di Kampung Alitang dan Seriwati, di sini, semalam.
Sementara itu, beliau berkata, kewujudan dua kilang terbesar yang akan beroperasi di Tongod tidak lama lagi juga dapat membantu dari segi dana yayasan pendidikan itu nanti.
“Kilang berkenaan adalah Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd yang akan di bangunkan berhampiran Kampung Inarad dan ternakan khinzir di Kampung Entilibon.
“Dengan tertubuhnya yayasan itu nanti, ia dapat mengubah nasib keluarga miskin dengan akses pendidikan tinggi anak-anak mereka,” katanya.
Masiung berkata, pemegang amanah yayasan itu akan diuruskan oleh anak tempatan Tongod yang mempunyai kelayakan.
Terdahulu, Pengerusi Borneo Cement Sabah Sdn Bhd memberi jaminan akan menyediakan 1,000 kekosongan jawatan di syarikat berkenaan yang diisi oleh warga Tongod mengikut kelayakan akademik.
Turut hadir, Paderi Gereja All Saint Kota Kinabalu, Dean Musa Ambai; Penolong Pegawai Daerah Tongod, Ronley Saringan dan Pegawai Unit Pembangunan Masyarakat, Tokyo Hashim Omar.
— Hamzah Sanudin
Add Comment