TAWAU: Penantian lebih empat dekad penduduk Kampung Kinabutan Bukit untuk memiliki masjid di tapak sendiri akhirnya tercapai apabila tanah kerajaan di kawasan itu diluluskan bagi pembinaan rumah ibadat umat Islam.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata kebenaran Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan masyarakat setempat yang majoritinya beragama Islam.

“Tiada masalah untuk mendirikan masjid di atas tanah kerajaan kerana tujuan kita adalah untuk bersatu, bukan berpecah belah. Saya menyokong penuh usaha ini supaya penduduk dapat beribadat dengan lebih selesa,” katanya ketika bertemu pemimpin kampung berkenaan baru-baru ini.
Nizam turut mengumumkan sumbangan peribadi sebanyak RM10,000 sebagai permulaan projek, selain memberi jaminan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor akan mencari peruntukan tambahan bagi memastikan masjid itu dapat disiapkan.
Menurutnya, masjid baharu itu bakal menjadi mercu tanda Kampung Kinabutan Bukit serta pusat penyatuan ummah, tempat bermusyawarah dan membina perpaduan.
Selama ini, penduduk menggunakan Masjid Al-Ghafur yang hanya menumpang di tapak Sekolah Kebangsaan (SK) Kinabutan Tawau, sekali gus menimbulkan kekangan kerana terikat dengan peraturan sekolah.
Pengerusi Masjid, Ustaz Sukianto Launa, berkata kelulusan tapak baharu itu tidak mungkin direalisasikan tanpa usaha Nizam.
“Dengan adanya tanah kerajaan ini, kami akhirnya dapat memiliki masjid sendiri. Kami amat berterima kasih kepada Datuk Nizam kerana memahami nasib penduduk di sini,” katanya.
Sukianto turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi menjayakan pembinaan masjid tersebut. Mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi Bendahari Masjid, Jamal Gapar, di talian 013-8808553.
“Semoga usaha ini diberkati Allah SWT dan masjid ini menjadi penyatu ummah penduduk Kinabutan Bukit,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment