Home » Bandar Baharu Seri Milian Bukti Transformasi Kinabatangan
Berita GRS Politik

Bandar Baharu Seri Milian Bukti Transformasi Kinabatangan

PECAH TANAH: Masiung ketika hadir mengiring Ketua Menteri dalam majlis pecah tanah projek berkenaan.

KINABATANGAN: Projek mega Bandar Baharu Seri Milian bernilai RM366 juta dijangka mengubah landskap pembangunan Kinabatangan dan menjadi pemangkin ekonomi baharu di Pantai Timur Sabah.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah, berkata projek pembangunan bercampur seluas 154.48 ekar itu akan dilaksanakan secara berfasa melalui kerjasama strategik antara Sunmow Construction Sdn Bhd dan Majlis Daerah Kinabatangan.

“Projek ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa dan mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan sepenuhnya. Ia sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dan akan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi mampan di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada majlis pecah tanah projek berkenaan di Dataran Terminal Terbuka Pekan Kota Kinabatangan, pada Jumaat.

Antara komponen utama projek termasuk pembinaan hotel 13 tingkat bertaraf empat bintang dengan kapasiti 200 bilik, pusat informasi pelancongan, kompleks sukan, pusat komersial, perumahan awam, masjid, stesen minyak, medan selera serta bangunan baharu Majlis Daerah.

“Kinabatangan mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan, maka projek ini akan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelancongan baharu di Pantai Timur Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Masiung berkata LPPB turut melaksanakan pembangunan SMJ di Beluran, melibatkan pembinaan 16 unit bangunan komersial bernilai RM11.568 juta serta 20 unit rumah mampu milik fasa pertama di Pekan Beluran.

“Projek ini dimulakan dengan upacara pecah tanah yang saya sempurnakan semalam, disaksikan Pembantu Menteri Luar Bandar merangkap ADUN Labuk, Datuk Samad Jamri,” katanya.

Majlis turut dihadiri ADUN Telupid, Datuk Johnnybone J. Kurum, dan Pengurus Besar LPPB, Datuk Rosemay Ahping.

— TAMAT