RANAU: 573 penduduk di Kundasang menerima manfaat pemeriksaan mata dan cermin mata percuma menerusi program komuniti anjuran Persatuan Golf Sabah (SGA) dengan kerjasama SPECTRA yang diketuai oleh Datuk Seri David Sew.
Program dua hari itu bermula 2 Mei dan diadakan di dua lokasi berbeza.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, inisiatif itu merupakan satu usaha murni yang sangat bermakna dalam membantu penduduk, khususnya mereka yang mengalami masalah penglihatan.
“Program seperti ini secara langsung membantu memperbaiki kualiti hidup komuniti setempat melalui penganjuran acara amal. Ia adalah bentuk sumbangan semula kepada masyarakat atau ‘go back to the community’,” katanya ketika melawat program itu di sini, baru-baru ini.
Hasil daripada pemeriksaan mata itu, seramai 123 pelajar dari SMK Bundu Tuhan yang menjalankan pemeriksaan telah dikesan memerlukan cermin mata dan telah diberi secara percuma melalui program komuniti ini.
Manakala, 300 penduduk pula menerima manfaat yang sama pada hari kedua program yang berlangsung di Pentas Terbuka Kundasang hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang menerima cermin mata percuma ialah 423 orang.
Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut merakamkan penghargaan kepada SGA atas usaha menganjurkan program kebajikan berkenaan.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pengetua SMK Bundu Tuhan, Prince Abd Halim Chan, serta pihak pentadbiran sekolah atas sokongan dan kerjasama yang diberikan.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada penaja Sinaland Sdn Bhd dan Primaland Sdn Bhd serta mengalu-alukan lebih banyak penyertaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan persatuan untuk menganjurkan program yang memberi manfaat kepada komuniti luar bandar.
Sementara itu, Setiausaha SGA merangkap Pengarah Projek, Ian Yong berkata, program perintis ini merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya membantu golongan memerlukan, khususnya para pelajar.
“Kerjasama dengan SPECTRA membolehkan kami melaksanakan pemeriksaan mata secara menyeluruh serta mengagihkan cermin mata percuma kepada pelajar dan penduduk setempat yang dikenal pasti layak.
“Kami berharap mereka yang menjalani pemeriksaan ini dapat menikmati penglihatan yang lebih baik, sekali gus meningkatkan pembelajaran dan kehidupan harian mereka,” katanya.
— UB
Add Comment