Home » Kerajaan negeri sokong inisiatif tingkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan
Berita GRS Politik

Kerajaan negeri sokong inisiatif tingkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus komited menyokong inisiatif yang meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, profesional pergigian memainkan peranan penting dalam kesihatan menyeluruh rakyat Sabah dan kerajaan sentiasa mencari jalan untuk menambah baik akses kepada penjagaan pergigian berkualiti tinggi.

“Persidangan ini menjadi platform untuk bertukar-tukar idea tentang bagaimana kita semua boleh bekerjasama bagi memastikan sektor perkhidmatan penjagaan pergigian terus berkembang dan maju di negeri serta rantau kita,” katanya semasa Borneo Dental Congress ke-13 dan Pameran Perdagangan di sini, kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Dr Roland Chia.

Beliau berkata, tema kongres, ‘Beam Forward, Illuminate Progress’ amat bertepatan kerana ia mencerminkan kemajuan dan inovasi berterusan dalam sektor perkhidmatan penjagaan pergigian.

“Bidang ini menyaksikan kemajuan yang ketara sejak beberapa tahun lalu, dan persidangan ini memberi peluang unik kepada anda dalam kerjaya pergigian untuk berkongsi ilmu, kemajuan serta teknologi terkini dan bekerjasama dalam idea-idea yang akan membentuk masa depan penjagaan pergigian.

“Kita semua mengakui kepentingan kesihatan mulut dalam mengekalkan kesejahteraan keseluruhan. Hubungan antara kesihatan mulut dan kesihatan am adalah tidak dapat dinafikan dan ketika kita berhadapan dengan cabaran baharu dalam penjagaan kesihatan, adalah penting untuk kita terus berinovasi dan berusaha ke arah kecemerlangan dalam cara kita memberikan penjagaan pergigian,” katanya.

Hajiji berharap persidangan itu akan membuka jalan kepada idea, penyelesaian dan inovasi baharu yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada profesion pergigian tetapi juga kepada komuniti yang anda semua berkhidmat.

“Saya berharap kongres ini akan memberi inspirasi kepada anda untuk terus meneroka batas penjagaan pergigian dan membina hubungan jangka panjang yang akan membentuk masa depan bidang pergigian. 

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada anda semua untuk kongres dan pameran yang berjaya dan bermanfaat,” katanya.

— TAMAT

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment