KOTA KINABALU:Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menghadiri Majlis Kesyukuran Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang berlangsung di Masjid Negeri Sabah, pada Jumaat di sini.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah sebelum diteruskan dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, sebagai tanda kesyukuran serta penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan para pahlawan negara.
Sempena majlis itu, sumbangan khas Hari Pahlawan turut disampaikan kepada wakil Persatuan Veteran sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti dan pengorbanan mereka dalam mempertahankan keamanan, keselamatan serta kedaulatan negara.
Sambutan Hari Pahlawan 2026 yang diraikan pada 31 Julai membawa tema “Mengenang Jasa, Mengukuh Pertahanan” sebagai simbol penghormatan kepada anggota keselamatan yang telah berkorban demi negara — sama ada ketika zaman darurat, konflik mahupun dalam menjalankan tugas pada masa kini. Sambutan tahunan itu menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat patriotisme, mengenang jasa para perwira negara serta menghargai pengorbanan mereka dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

























Add Comment