RANAU:Masyarakat diseru menjadikan semangat Maal Hijrah sebagai pemangkin kepada transformasi diri melalui perubahan sikap, anjakan minda dan usaha berterusan ke arah mencapai kecemerlangan dalam kehidupan.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata penghayatan terhadap peristiwa Hijrah tidak seharusnya terhad kepada memperingati sejarah semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui amalan yang membawa perubahan positif dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata, semangat Hijrah perlu dijadikan inspirasi untuk memperbaiki diri, menimba ilmu, memperkukuh ekonomi keluarga serta meningkatkan amalan ibadah demi melahirkan masyarakat yang lebih berdaya maju dan berintegriti.
“Semangat Hijrah mengajar kita bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui perubahan yang disertai usaha, kesungguhan dan keazaman.
“Pendidikan merupakan antara contoh terbaik bagaimana perubahan mampu membuka ruang kepada masa depan yang lebih cerah,” katanya ketika merasmikan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Ranau di Dewan Masyarakat Ranau, Jumaat.
Pada majlis itu, Masidi turut merakamkan penghargaan terhadap pencapaian Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau yang muncul sebagai MRSM terbaik di Sabah dan Sarawak serta antara yang terbaik di Malaysia berdasarkan keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau berkata, kejayaan pelajar Sabah yang menerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dan pelbagai bentuk tajaan lain, termasuk penerima dari Ranau, membuktikan anak-anak negeri memiliki potensi besar untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.
Sehubungan itu, beliau menggesa pelajar di daerah berkenaan supaya terus berusaha meningkatkan prestasi akademik agar mampu bersaing dan melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
Sebagai galakan kepada pelajar, Masidi turut mengumumkan Anugerah Pelajar Cemerlang bagi peperiksaan SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan diperkenalkan bermula sempena Sambutan Maal Hijrah tahun hadapan.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut diharap menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar untuk berusaha mencapai kecemerlangan akademik, selain memberi inspirasi kepada generasi muda agar terus mengejar kejayaan.
Mengakhiri ucapannya, Masidi berharap nilai dan semangat Hijrah terus menjadi panduan dalam membina masyarakat yang berilmu, berintegriti, berakhlak mulia serta mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
Turut hadir Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yassin; Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam; serta tetamu kehormat lain.

























Add Comment