Home » Masidi yakin baki geran khas RM1.5 bilion direalisasi dalam tahun ini
Berita GRS Politik

Masidi yakin baki geran khas RM1.5 bilion direalisasi dalam tahun ini

MA63: Masidi berkata kerajaan negeri yakin baki Geran Khas Interim RM1.5 bilion akan disalurkan tahun ini, selain memaklumkan isu hak Sabah menerima 40 peratus hasil bersih dijangka turut dibincangkan dalam mesyuarat MA63 pada 3 Ogos.

KOTA KINABALU:Kerajaan Sabah yakin baki pembayaran Geran Khas RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan disalurkan dalam tahun ini selepas rundingan berterusan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata satu mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diadakan pada 3 Ogos bagi membincangkan beberapa perkara penting, termasuk status pembayaran geran khas tersebut serta isu-isu lain yang masih tertunggak.

Beliau berkata, kedua-dua pihak kini mengadakan rundingan secara aktif bagi memastikan komitmen yang diumumkan Kerajaan Persekutuan dapat direalisasikan.

“Saya yakin baki geran khas yang telah diumumkan akan dapat disalurkan dalam tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah 2026 di Menara Kinabalu, pada Sabtu ,di sini.

Mengulas lanjut, Masidi berkata isu hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil bersih yang dipungut Kerajaan Persekutuan dari negeri ini juga dijangka menjadi antara agenda utama dalam mesyuarat MA63 berkenaan.

“Kita ada mesyuarat MA63 pada 3 Ogos dan saya yakin isu pembayaran 40 peratus akan turut dibincangkan,” katanya.

Minggu lalu, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah dimaklumkan bahawa negeri ini telah menerima RM600 juta daripada keseluruhan RM1.5 bilion Geran Khas Interim yang diumumkan Perdana Menteri.

Hak Sabah terhadap bayaran 40 peratus hasil bersih kekal menjadi antara isu utama dalam rundingan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan di bawah kerangka MA63.

Pada April lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan semakan hak Sabah terhadap bayaran 40 peratus hasil bersih, sementara menunggu keputusan rayuan.

Sebelum itu, pada 17 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bertindak menyalahi undang-undang kerana gagal memenuhi hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40 peratus hasil bersih yang dipungut dari negeri ini bagi tempoh 1974 hingga 2021.