KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mahu perkembangan positif keselamatan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESS Zone) disampaikan secara lebih berkesan kepada perwakilan asing, termasuk kedutaan dan suruhanjaya tinggi di Malaysia, bagi membolehkan mereka menilai semula nasihat perjalanan ke Sabah Timur.
Beliau berkata, langkah itu penting memandangkan tiada kes penculikan bagi tujuan wang tebusan dilaporkan di ESS Zone sejak Januari 2020, sekali gus membuktikan tahap keselamatan di kawasan berkenaan terus berada pada keadaan yang baik dan terkawal.
“Maklumat mengenai perkembangan positif ini perlu disampaikan dengan lebih berkesan supaya negara-negara luar dapat menilai semula dan mempertimbangkan untuk menurunkan tahap nasihat perjalanan ke Sabah Timur.
“Ini akan meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa serta menggalakkan lebih ramai pelawat datang ke Sabah, khususnya ke destinasi pelancongan di Pantai Timur,” katanya ketika mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESS Zone di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu turut dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Panglima Saifuddin Nasution Ismail.
Hajiji berkata, secara keseluruhannya keadaan keselamatan di ESS Zone berada pada tahap yang baik hasil kerjasama erat semua agensi keselamatan yang bertanggungjawab menjaga perairan dan daratan Sabah Timur.
Beliau berkata, baru-baru ini beliau sendiri telah mengadakan lawatan ke enam pulau di perairan Sabah bagi meninjau pos kawalan keselamatan serta menilai tahap kesiapsiagaan anggota di lapangan.
Menurut beliau, kejayaan mengekalkan rekod sifar kes penculikan bagi tujuan wang tebusan sejak enam tahun lalu merupakan pencapaian membanggakan hasil komitmen Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta semua agensi keselamatan yang terlibat.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ESSCOM, PDRM, ATM, APMM dan semua agensi keselamatan atas komitmen serta pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan perairan dan daratan Sabah Timur sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan semua agensi berkaitan bagi meningkatkan keupayaan operasi, memperkukuh aset serta kesiapsiagaan pasukan keselamatan, di samping memberi perhatian terhadap kebajikan anggota yang bertugas.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr. Awang Alik Jeman.

























Add Comment