Home » Bekas ADUN dan kumpulan profesional Penampang sertai Gagasan Rakyat
Berita GRS Politik

Bekas ADUN dan kumpulan profesional Penampang sertai Gagasan Rakyat

SERAH BORANG: Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Moyog, Datuk Ceasar Mandela Malakun (kanan) menerima borang permohonan keahlian parti daripada bekas ADUN, Datuk James Ligunjang JP, bersama beberapa tokoh politik dan profesional dari Penampang pada satu majlis ringkas di ITCC Penampang, hari ini.

PENAMPANG:Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk James Ligunjang JP, bersama beberapa tokoh politik dan profesional dari kawasan Parlimen Penampang secara rasmi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), hari ini.

Turut menyertai parti itu ialah Datuk Edmund Doudilim, Dr. Tan Jun Kwang, Wilson Chang, Datuk Aloysius Mobijin, Frederick Francis Fung, Anwar Syed Shariff Abdullah, TS Gary Chang dan Albert Doudilim.

Borang permohonan keahlian mereka diserahkan kepada Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Moyog, Datuk Ceasar Mandela Malakun, dalam satu majlis ringkas di ITCC Penampang yang turut disaksikan Pengerusi Gagasan Rakyat Bahagian Kepayan, Datuk Steven Jimbangan.

James berkata, keputusan menyertai Gagasan Rakyat dibuat bagi memperkukuh perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disokongnya sejak penubuhan gabungan berkenaan.

Menurut beliau, walaupun sebelum ini tidak menganggotai mana-mana parti komponen GRS, keyakinan terhadap hala tuju kepimpinan kerajaan negeri mendorong beliau bersama rakan-rakannya memilih Gagasan Rakyat sebagai platform perjuangan.

PENYERTAAN: James Ligunjang bersama beberapa tokoh dari Penampang menyerahkan borang permohonan menyertai Gagasan Rakyat kepada Datuk Ceasar Mandela Malakun, sambil disaksikan Pengerusi Gagasan Rakyat Bahagian Kepayan, Datuk Steven Jimbangan.

“Kami menyertai Gagasan Rakyat untuk membantu memperkukuh kekuatan akar umbi parti serta memperkasakan GRS demi memastikan kepentingan rakyat Sabah terus dipelihara,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berjaya membawa pelbagai inisiatif pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat di seluruh negeri.

Menurutnya, pencapaian yang direkodkan kerajaan negeri membuktikan pentadbiran sedia ada berada di landasan yang tepat dan wajar terus diberi sokongan.

Kemasukan James bersama beberapa tokoh berpengalaman itu dijangka dapat memperkukuh organisasi Gagasan Rakyat di kawasan Parlimen Penampang, di samping memperluaskan jaringan sokongan parti di peringkat akar umbi.