PENAMPANG:Kerajaan Negeri Sabah kekal dengan pendirian untuk menuntut pelaksanaan penuh hak pemberian 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah menerusi rundingan kerajaan dengan kerajaan (G-to-G) bersama Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata tuntutan berkenaan merupakan antara hak utama Sabah yang diperuntukkan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan saya akan terus menuntut pelaksanaan penuh pembayaran 40 peratus melalui proses rundingan G-to-G dengan Kerajaan Persekutuan kerana hak 40 peratus merupakan hak terbesar kita dalam MA63, juga seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Hak ini mesti ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun UPKO Ke-32 dan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17, di sini.
Hajiji berkata, pendirian Sabah mengenai tuntutan itu terus dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan, termasuk dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 yang bersidang pada 3 Ogos lalu di Putrajaya. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, turut menghadiri mesyuarat berkenaan sebagai antara anggota delegasi Kerajaan Negeri.
Menurut Hajiji, sebanyak 13 tuntutan berkaitan MA63 telah dilaksanakan setakat ini, termasuk perkara berkaitan kawal selia tenaga, pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah Arahan Perbendaharaan 182, pentadbiran badan kehakiman di Sabah, pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, tenaga buruh serta alam sekitar.
Mengenai tuntutan 40 peratus, beliau berkata pelaksanaan sepenuhnya masih belum dimuktamadkan, termasuk susulan proses perundangan berkaitan yang masih berjalan.
Bagaimanapun, Sabah kini menerima Pemberian Khas secara interim yang telah meningkat daripada sekitar RM26 juta sebelum ini kepada RM1.5 bilion bermula tahun ini.
“Kita mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri meningkatkan jumlah bayaran interim ini dan kita akan menggunakan hasil ini untuk membina lebih banyak jalan raya berturap di Sabah, membina jambatan konkrit, menambah baik bekalan air dan elektrik serta agenda pembangunan dan kebajikan rakyat Sabah seperti pembinaan lebih banyak Rumah SMJ dan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).
“Pendek kata, apa yang kita peroleh daripada Kerajaan Persekutuan, akan kita pulangkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk insentif dan bantuan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata Kerajaan Negeri terus memberi perhatian kepada pengukuhan kedudukan kewangan dan peningkatan kutipan hasil negeri.
Menurutnya, kutipan hasil berjaya dikekalkan sekitar RM7 bilion setahun sejak 2022 dan dijangka meningkat sehingga RM8 bilion tahun ini.
Beliau berkata, daya tahan ekonomi Sabah juga terus diperkukuh meskipun berdepan pelbagai cabaran domestik dan global, sekali gus meningkatkan daya tarikan negeri sebagai destinasi pelaburan.
“Pada 2025 sahaja, sebanyak RM7.6 bilion nilai pelaburan dalam sektor pembuatan telah direkodkan, iaitu hampir 208 peratus berbanding pada tahun 2024,” katanya.
Hajiji berkata, kemasukan pelaburan berimpak tinggi penting untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak Sabah, selain menghasilkan limpahan ekonomi kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Dalam sektor minyak dan gas, Hajiji berkata kerjasama strategik dengan PETRONAS menerusi Commercial Collaboration Agreement (CCA) telah membuka ruang kepada Sabah meningkatkan pegangan ekuiti dalam industri berkenaan serta memperluas penyertaan syarikat tempatan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri kini sedang memuktamadkan usaha memperoleh 40 peratus ekuiti dalam projek fasiliti Gas Asli Cecair Terapung (FLNG) di Sabah serta 30 peratus pegangan dalam dua lapangan minyak dan gas baharu di Pantai Timur.
“Insya-Allah, perjanjian untuk perkongsian ini akan dimeterai dalam waktu terdekat,” katanya.
Selain itu, kerajaan merancang pembangunan taman perindustrian baharu termasuk di Kota Belud serta Hab Ekonomi Biru di Kudat bagi menarik lebih banyak pelaburan dan memperkukuh rantaian ekonomi domestik.

























Add Comment