Home » Hajiji sambut penyertaan UPKO dengan hati terbuka, sifat petanda positif politik Sabah
Berita GRS Politik

Hajiji sambut penyertaan UPKO dengan hati terbuka, sifat petanda positif politik Sabah

SAMBUTAN: Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor disambut barisan kepimpinan serta ahli UPKO ketika tiba pada Sambutan Ulang Tahun UPKO Ke-32 dan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Penampang, Ahad.

PENAMPANG:Penyertaan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diyakini mampu memperkukuh kestabilan politik negeri, sekali gus memantapkan kerjasama antara parti-parti tempatan dalam meneruskan agenda pembangunan Sabah.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata keputusan Majlis Tertinggi GRS pada 8 Jun lalu menerima penyertaan UPKO merupakan perkembangan positif dalam landskap politik negeri.

“Sebenarnya, apabila kita menerima permohonan daripada UPKO untuk menyertai GRS, kita melihat itu sebagai satu petanda positif dalam perkembangan politik di Sabah.

“Kita menerimanya dengan hati yang terbuka,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun UPKO Ke-32 dan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17, di sini, Ahad.

Hajiji berkata, kehadiran UPKO dalam gabungan parti-parti tempatan itu akan memperkukuh kestabilan politik, sekali gus membolehkan Kerajaan Negeri memberikan tumpuan lebih besar kepada pembangunan rakyat, kemakmuran ekonomi dan kemajuan infrastruktur.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh kepimpinan dan ahli UPKO bersama-sama menjayakan wawasan Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper, selain terus memperkukuh perpaduan dalam kalangan parti komponen GRS.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, serta ahli parti itu atas sokongan yang diberikan sepanjang pentadbirannya sebagai Ketua Menteri dalam melaksanakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 yang kini diteruskan menerusi SMJ 2.0.

Beliau berkata, pelantikan Ewon sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan membawa tanggungjawab besar dalam memacu agenda pelaburan, perindustrian dan keusahawanan negeri selaras dengan matlamat SMJ 2.0.

“Saya amat yakin, dengan komitmen dan kerjasama padu semua pihak, dari peringkat pimpinan kerajaan kepada peranan dan penglibatan sektor awam serta swasta, insya-Allah, pelan pembangunan Hala Tuju SMJ 2.0 akan dapat dijayakan dengan penuh kecemerlangan,” katanya.

Hajiji berkata, meskipun parti-parti komponen GRS mempunyai latar belakang dan asas perjuangan masing-masing, semuanya berkongsi matlamat yang sama dalam memperjuangkan kepentingan Sabah dan rakyatnya.

“GRS ini adalah rumah kita, rumah yang harus kita jaga bersama; rumah yang memayungi perjuangan kita, perjuangan demi rakyat dan negeri tercinta,” katanya.

Menurutnya, perpaduan serta kerjasama politik yang erat merupakan antara kunci utama dalam membina masa depan Sabah yang lebih maju, stabil dan makmur.

“Inilah agenda yang mesti kita laksanakan supaya generasi Sabah yang akan datang boleh berbangga dengan legasi yang bakal kita tinggalkan untuk mereka,” katanya.

Justeru, Hajiji mengajak semua parti komponen GRS untuk terus memperkukuh kesatuan dan kerjasama dalam memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan rakyat.