KOTA KINABALU:Tindakan Kerajaan Negeri Sabah bersama Sabah Development Berhad (SDB) dan dua pihak lain memfailkan saman sivil melebihi RM2 bilion terhadap firma audit Ernst & Young PLT (EY) mencerminkan keterbukaan kerajaan dalam memastikan pengurusan kewangan dan dana negeri dilaksanakan secara telus serta bertanggungjawab.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata tindakan itu turut membuktikan keseriusan kerajaan negeri dalam memperkukuh amalan tadbir urus, khususnya membabitkan pengurusan kewangan dan khazanah Sabah.
“Saya ingat eloklah kita serahkan proses mahkamah untuk menentukan. Bagi Sabah, kita telah pun memfailkan dan kita tunggu proses mahkamah seterusnya.
“Tapi apa yang pasti, secara simboliknya ini menunjukkan keterbukaan Sabah — nothing to hide,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah 2026, di sini, hari ini.
Masidi berkata, kerajaan negeri mengambil pendirian tegas dalam memastikan sebarang perkara berkaitan pengurusan kewangan SDB ditangani melalui saluran sewajarnya tanpa mengira pihak yang terlibat.
“Bagi SDB, kita telah menyaman semua pemiutang tidak kira siapa. Kita betul-betul serius untuk memastikan pengurusan kewangan dan dana negeri kita dibuat bukan sahaja dengan baik, tetapi dengan telus,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan berkenaan diharap dapat membudayakan standard tadbir urus yang lebih tinggi dalam pengurusan aset, khazanah dan kewangan negeri.
“Kita harapkan ini akan mewujudkan budaya governance (tadbir urus) yang lebih baik dalam kita mengurus khazanah dan juga kewangan negeri Sabah,” katanya.
Pada 7 Ogos lalu, Kerajaan Negeri Sabah dilaporkan memfailkan saman sivil melebihi RM2 bilion terhadap EY di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung audit penyata kewangan SDB bagi tahun kewangan 2011 hingga 2022.
Tindakan undang-undang itu difailkan oleh Kerajaan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Sabah Development Berhad dan SDB Corporation Sdn Bhd selaku plaintif.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa EY telah melanggar kewajipan berjaga-jaga ketika menjalankan audit berkanun terhadap penyata kewangan Sabah Development Bank Berhad, sehingga didakwa menyebabkan kedudukan kewangan sebenar bank pembangunan milik kerajaan negeri itu tidak dapat dikenal pasti lebih awal.
Bagaimanapun, perkara berkenaan kini tertakluk kepada proses mahkamah dan dakwaan yang dikemukakan masih perlu diputuskan menerusi prosiding undang-undang.

























Add Comment